RAMADHAN YA RAMADANI

Genap setahun kelahiran Ramadhani, Ramadhan datang lagi, Alhamdulillah, Aku bersyukur pada-Mu Ya Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk berada dalam bulan ini. Suasana di Pejabat agak berbeza kelihatannya, kebanyakan hadir ke pejabat lebih awal termasuk diriku dan petang pula ramai yang menganbil WP 1 dan 2 Cuma aku yang tidak sempat untuk menukarkannya, maka seperti biasalah aku keluar pejabat. Seminggu berada dalam bulan ini, aku tak larat bawa kereta sendiri, ku bisikkan pada suami, “Boleh tak bulan ini hantar saya?” “Boleh, tapi hanya bulan ini,” Tak apalah, Alhamdulillah, boleh turun lewat sikit dan dapat juga balik awal, tak payah susah-susah nak berhadapan dengan jem. Oh, hidup ini penuh perjuangan, dan perjuangan nak pergi ke pejabat amat melelahkan bila berhadapan pergi dan balik dengan kesesakan lalu lintas. Sampai pernah terfikir jika nyawa ku diambil disini ya Allah, semoga perjalanan aku ke tempat kerja turut di kira sebagai jihad. Berbalik pada bulan ini, bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, inilah peluang keemasan untuk melakukan ibadah puasa. Ku pesan pada anak-anakku, “Bulan Ramadhan di mana siang dan malam dipenuhi keberkatan ini, rugi jika tidak mengambil peluang keemasan ini sebab Ramdhan akan datang belum tentu kita dapat memasukinya.” Rebutlah emas jika ada yang memberi emas secara percuma, begitu juga semua orang sudah maklum mengenai bulan ini, jadi mengapa lagi harus berlengah-lengah banyakkan baca Quran anakku, puasa jangan tak puasa. ”Puasa bukan kerana nak berhari raya, tapi kerana Allah,” kata Kak Ngah. Topik dimeja makan tentang puasa semasa menikmati juadah berbuka. ”Bagus kata Baba mereka,” ”Siapa yang bagitau?” tanyaku.... ”Ustazahlah, bagitau....” Alhamdulillah dakwah yang berkesan. Pada bulan Ramadhan yang mulia ini Rasulullah SAW mengajar kita untuk meninggalkan suatu peperangan, suatu perjuangan atau suatu jihad yang kecil untuk dilatih melakukan satu perjuangan atau jihad yang besar iaitu jihad melawan nafsu. Jihad nafsu bermaksud mengawal diri bagi melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi sememangnya sangat sukar bagi kita kerana tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan kerana ianya telah dipengaruhi oleh syaitan laknatullah. Wahai anak-anakku benar kata Ustazah, bahawa pada bulan yang mulia inilah segala musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam di beri peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya.”(Bukhari & Muslim) Berjihad melawan nafsu adalah tanda-tanda mereka yang cinta kepada Allah SWT. Berjihadlah anak-anakku melawan diri untuk makan yang macam-macam. Alhamdulillah, juadah berbuka puasa simple sahaja. Dirumah ramai yang diet. Selera makan menurun, kerana makan yang biasanya berebut-rebut, kini biasa-biasa sahaja. Di rumah, alunan ayat suci al-Quran dikumandangkan, radio IKIM diperdengarkan kepada anak-anak. Biarlah paling tidak sambil lalu mereka mendengar. Hadirkanlah wahai anak-anakku juga peringatan untuk diriku bahawa tanda cinta kepada Allah selalu menyebut-nyebut nama-Nya dengan membaca al-Quran ataupun berzikir, rindu kepada Allah, rindu pada hari saat kita akan melihatnya, contohilah tingkah laku dan ajarannya Rasul-Nya dan bangunlah untuk melakukan ibadat pada sepertiga malam yang terakhir. Pertembungan kepentingan antara kehendak gelojak hawa nafsu manusia sentiasa menimbulkan konflik dalam diri kita. Pertembungan ini akan menentukan hala tuju dan status fitrah kehidupan kita. Nafsu jahat dapat dikenal melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia. Nafsu jahat dan liar itu dikatakan sifat mazmumah antaranya ialah sum'ah, riya', ujub, cinta dunia, gila pangkat, gila harta, banyak bicara, hasad, dengki, ego, dendam, buruk sangka, mementingkan diri sendiri, pemarah, tamak, serakah, bakhil, sombong dan lain-lain. Sifat-sifat ini melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita tidak mengikis dan membuangnya maka ianya semakin kuat dan menebal pada hati kita.Tetapi untuk membuangnya, maka seseorang itu memerlukan penglibatan diri dalam perjuangan, kesabaran serta berjihad. Sebagai seorang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadhan. Puasa adalah ibadah yang sukar dan menjadi perjuangan secara senyap melawan hawa nafsu. Perjuangan ini juga adalah rahsia antara seseorang hamba dengan Tuhannya kerana gerak geri amalan puasa tidak dapat dinilai oleh orang lain. Ketika berpuasa bukan hanya menahan diri dari keinginan makan dan minum tetapi seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah. Amalan wajib dan sunat yang padat dalam bulan Ramadhan ini memberi tumpuan latih tubi pembersihan hati, pembersihan dalaman, mendisiplinkan anggota badan, mengukuhkan akhlak mulia dan mencegah penyakit. Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadhan kita semata-mata menahan lapar, atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek pembersihan jiwa dan akhlak kita. Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu” (Riwayat Bukhari) Marilah kita menyuluh diri sendiri, mengawal segala perbuatan agar ianya bertepatan dengan kehendak syariat dan tuntutan agama. kita menghiasi diri kita dengan amalan kebaikan dan menutup segala pintu-pintu nafsu kejahatan, bentuklah ahli keluarga kita menjadi insan bertakwa dengan amalan puasa wajib dan digilap pula dengan amalan-amalan sunat siang dan malam di sepanjang Ramadhan. Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali dan merupakan satu jihad daripada seorang hamba kepada tuhannya. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10: Maksudnya: “ Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa”.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Buat Si Pencuri

AYAT-AYAT CINTA

Rindu