Kehidupan yang tersembunyi
Disediakan
oleh
NIK
NORLIZA BT MUSTAPA
Pada hemat kita yang diam tidak bergerak itu adalah mati,
manakala yang subur dan bergerak itu adalah yang hidup. Pernahkah kita
memperhatikan pada tumbuhan-tumbuhan, keluarnya tumbuh-tumbuhan dari biji
benih dan keluarnya biji benih dari tumbuh-tumbuhan, begitu juga pada kehidupan
binatang, keluarnya ayam dari telur dan keluarnya telur dari ayam.
Betapa menakjubkan kita memperhatikan keadaan ini. Allah Maha
Suci dan Allah Maha Besar. Kita akan sedar bahawa disebalik
biji benih dan telur itu bukanlah berada pada yang mati, tetapi berada
pada yang hidup, kerana dalam kedua-duanya terdapat hayat yang tersembunyi dan
persediaan ke arah hayat yang seterusnya, yang juga turut akan membawa jenis
baka atau warisan yang mana kehidupannya juga sungguh menakjubkan. Itulah
ciptaan Allah yang Maha Hebat. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Yunus ayat 31
yang bermaksud: "Dan siapakah yang berkuasa mengeluarkan yang hidup
dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup?"
Sekeliling Anda!
Di sekeliling sebuah rumah, kelihatan pohon markisa, ciku, malberri sedang berbuah, juga sayuran terung dan mentimun, serta cili yang ditanam sedang mengeluarkan hasilnya, betapa hebatnya kurniaan Allah, Di belakang rumah sepasang sang arnab sedang menunggu makanan, ayam-ayam yang berkeliaran mengais-ngais tanah mencari makan, ikan peliharaan pula kelihatan gembira dalam sangkar di bucu pagar. Betapa damainya mata yang melihat sambil menghirup angin segar di pagi hari.
Betapa indahnya suasana pagi, matahari sedang memunculkan diri, bila memandang alam sekeliling, kelihatan disebalik kehidupan ada kehidupan lain. Melihat pada biji mangga yang tersidai di jendela dapur yang asalnya dari buah mangga yang tumbuh, menjadi kering tapi jika ditanam akan tumbuh menjadi anak pokok, betapa hebatnya Allah SWT. Subhanallah….
Khabarkan
pada mereka!
Cukup sedar, bahawa kita tak punya apa-apa sebenarnya,
sungguh perasaan ini diulit rasa terharu dan mengakui betapa luasnya rahmat dan
kasih sayang Allah untuk hamba-Nya. Apa tidaknya pokok yang ditanam akan
berbuah, sang arnab akan melahirkan, begitu juga sang ikan akan menjadi hidangan.
Dalam biji mangga di mana tersembunyi tangkai, ranting, akar, batang dan daun? Dalam sebutir telur, aku katakan pada anak-anak sebenarnya kita makan seekor ayam! Sambil menggeleng, mereka kata hendak makan ayam?Bukan ayam tapi itu adalah telur…Aku khabarkan kepada mereka, asal kehidupan seekor anak ayam bermula dari sebutir telur yang nampak tidak bergerak sebenarnya tapi ada hayat yang tersembunyi....
Bicara tentang kedudukan anak ayam, dimanakah letak anak ayam dalam telurnya? Dimana tersembunyi bahagian tulang, daging, bulu-bulu halus dan bulu-bulu kasar, warna dan tapung-tapungnya, di mana letaknya bahagian yang mengiraikan sayap-sayapnya dan bahagian yang membunyikan kokoknya? Adakah kita boleh berkata bahawa alam yang luas terbentang dihadapan kita ini dipenuhi dengan hidupan menghijau dan melata pada asalnya tersembunyi dalam biji benih tumbuh-tumbuhan, dalam telur-telur hatta kita sendiri asalnya dari dalam ovum yang terletak pada rahim seorang ibu? Inilah sebuah kehidupan atau hayat yang perlu difahami dan puncaknya pemahaman adalah wujudnya qudrat dan pentadbiran Allah dalam alam semesta ini.
Di sebalik Fikir dan Zikir
Dalam banyak ayat-Nya Allah SWT mengajak umat sentiasa berfikir. Berfikir, bukan hanya fikir tetapi dengan berfikir kita akan menemukan pelbagai jawapan, menemukan jawapan bermakna akan menemukan pelbagai penemuan baru khususnya dalam rahsia hayat dan maut, kejadian yang hidup dikeluarkan dari yang mati dan sebaliknya, termasuk perubahan unsur-unsur melalui beberapa peringkat hingga akhirnya menuju kepada maut atau menuju ke arah hayat.
Al-Quran menganjurkan penggunaan akal untuk mendapat
petunjuk dan ilmu pengetahuan. Ayat-ayat yang merujuk kepada penggunaan akal
untuk berfikir banyak sekali diulang-ulang dalam al-Quran. Kemusykilan terhadap sesuatu perkara juga
akan menemukan jawapan bila mana al-Quran dan hadis menjadi rujukan dan
pegangan dalam hidup.
Daerah
Kedewasaan
Melalui pelbagai penemuan diharapkan kita menjadi manusia
dewasa dan sedar siapalah sebenarnya kita di dunia ini, hanyalah seorang hamba,
hamba, hamba yang mengharapkan belas kasihnya Allah SWT. Hayat adalah sebuah
kehidupan yang aneh dan menarik, mencabar akal dan hati manusia dengan pelbagai
tanda tanya yang tidak dapat dijawab seluruhnya kecuali dengan akhirnya kita
akan temu jawapan kewujudan Allah SWT dan kekuasaan-Nya yang mengurniakan hayat
dan yang mentadbirkan segala kehidupan ini.
Comments