BAB KAHWIN

Aku ingin Kahwin Tapi… Semasa memandu kereta aku teringat pertanyaan emak tadi sewaktu aku melangkah turun dari anak tangga terakhir, “Anak Mak Mah yang jadi peguam tu akan kenduri bulan depan, Engkau bila lagi…,” Oh, kenapa soalan itu yang ditanya, cetus hati kecilku lalu dengan nada lemah aku menjawab,“Nantilah, emak, ada jodoh saya tak ke mana, emak doakan saya ya!” lalu meneruskan langkah ke kereta. Oh, perkara kahwin bukan mudah! Kalau tak bersedia. Istikharah Jalan Mendapat Petunjuk! Persoalannya, bukan tiada orang yang cuba merisik, tetapi saya ada pendirian saya sendiri. Pilihan saya bukan berpaksikan pada material semata-mata. Ops…saya bukan mudah untuk memberi keputusan, tetapi keputusan saya, saya pohon petunjuk daripada Allah SWT. Saya solat sunat Istikharah mohon petunjuk daripada-Nya dan saya mahu redha-Nya. Saya solat Hajat supaya apa yang saya hajatkan tercapai. Begitulah saya, sebab saya tidak mahu tersalah langkah dalam membina rumah tangga. Berkahwin bukan untuk sehari dua, tetapi jika diizinkan ingin kekal selamanya. Saya mahu rumah tangga saya mendapat keberkatan dan dibina berlandaskan iman dan takwa. Hidup ini hanya sekali dan membina rumah tangga bukanlah perkara main-main. Ibarat Membangunkan Sebuah Masjid! Perkahwinan saya ibaratkan membangunkan masjid, biar ia kekal lama, saya mahu yang terbaik dalam pembinaan tersebut, saya mahu binaan itu kukuh dan teguh serta dapat dimanfaatkan hingga ke akhirnya. Semua orang ingin seperti saya. Membina rumah tangga, bermakna mengikat hubungan dua jenis jantina yang berbeza dari latar-belakang yang berbeza dalam aspek asuhan, tahap pendidikan, keinginan, pemikiran dan sebagainya. Sudah tentu dalam perkahwinan tersebut mengambil masa untuk saling memahami bagi melengkapi kehidupan pasangan suami isteri. Perkongsian dalam hidup yang saya dambakan ialah mendapat anak-anak yang soleh. Saya dambakan seorang lelaki yang bernama suami seumpama seorang imam yang dapat memimpin saya dan anak-anak sebagai makmum dalam saf ketika bersolat. Siapa pun jika jodoh saya, saya mesti menerimanya kerana Allah ta’ala. Mari Fikir-fikir! Saya bukan cari pasangan hidup kerana desakan seseorang, bukan juga kerana nafsu yang tidak dapat dibendung, tetapi mengikut sunah Rasulullah SAW. Saya cari orang yang boleh berkongsi hidup dengan saya, orang yang boleh menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kepada zuriat keturunan saya. Saya gali kitab-kitab fiqah dan saya bongkar untuk sama-sama memahami. Hamba ingin Kahwin! Perkahwinan bukanlah satu permainan seperti main masak-masak, main mak-mak dan main kahwin-kahwin semasa kecil yang kita khayalkan dan kita lakonkan bersama kawan-kawan. Realitinya ia tidak mudah seperti yang kita lakonkan. Ada penanda aras dalam pemilihan pasangan iaitu asas agama. Sabda Rasulullah SAW, Apabila seseorang yang kamu redhai agama dan akhlaqnya dalam meminang, maka kahwinlah dia… (Riwayat al-Tirmizi). Sabda Rasulullah SAW juga dalam hadis yang lain bermaksud, “Seseorang perempuan itu dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka pilihlah perempuan yang beragama, nescaya tenanglah hatimu.” (Riwayat al-Bukhari). ‘Enggang sama Enggang’ Bolehkah pipit sama enggang berlari bersama? Adakah ada persamaan antara kedua-duanya. Tentulah jawapannya tidak! Bila latar-belakang kehidupan, pendidikan, kerjaya dan sebagainya berbeza dibimbangi mengalami masalah dalam perkahwinan. Bagaimana jika calon isteri mempunyai kedudukan yang lebih dalam segenap segi, perkara inilah yang perlu difikir-fikirkan. Jika calon isteri redha tiada masalah. Walaupun masalah sukufu bukan syarat sah dalam perkahwinan tetapi ia menjadi perbahasan ulama’ sejak daripada dahulu. Umumnya, ………ulama meletakkan dibimbangi ketaatan seorang isteri kepada suami Dalam sesetengah masyarakat hari ini masalah sekufu menjadi keutamaan bagi calon isteri dan walinya bagi mengelak timbulnya pelbagai masalah. Ini bermakna seimbang, setara dan sama kedudukan suami dengan isteri akan membawa ke arah rumah tangga yang harmoni . Walaupun tidak dijumpai nas yang jelas , tetapi menjadi perbincangan ulama’ tentang hal ini. Tapi mahu Ikut Sunah Nabi! Majlis Kahwin yang disebut juga majlis walimah secara kebiasaannya memerlukan belanja yang besar. Sudah menjadi lumrah bila menghadiri majlis-majlis kenduri, masyarakat sekeliling akan bercerita tentang pelaksanaan majlis dan membandingkan dengan majlis kenduri yang lain. Jika majlis kahwin diadakan secara besar-besaran akan disebut-sebut, jika sebaliknya macam-macam pula ceritanya. Sedar tak sedar majlis kahwin perlu dibuat secara besar-besaran bagi memuaskan hati semua pihak. Tuan rumah akan merasa bangga apabila dapat memenuhi kehendak sendiri, saudara-mara dan tetangga. Majlis dimulai dengan adat perkahwinan yang kadang-kadang melanggar syariat seperti percampuran lelaki dan wanita, tabaruj berlebihan sehingga berlawanan dengan syariat, pembaziran dan sebagainya. Padahal tujuan sebenar majlis tersebut diadakan bagi mengumumkan perkahwinan disamping untuk mengembirakan pengantin yang baru serta sebagai tanda rasa kegembiraan orang tua menerima menantu baru. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda kepada ’Abdul Rahman bin ‘Awf yang mafhumnya, “Buatlah walimah perkahwinan walaupun hanya dengan seekor kambing.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Majlis Kenduri yang hendak kita adakan sebenarnya tidak salah tetapi yang dibimbangkan sekiranya melanggar batasan syarak disebabkan pengisian dalam majlis berkenaan, akhirnya keberkatan majlis tidak diperoleh. Berbelanjalah secara berhemah, Jangan diikut keinginan nafsu, Kata nafsu, kerja kahwin mencecah ratusan ringgit, nak buat majlis biarlah besar, nak jemput ramai orang, nak undang penyanyi terkenal, nak sediakan makan dan minum daripada caterer terkenal, nak tempah pakaian untuk beberapa persalinan, nak tempah juru gambar untuk aktiviti dalam majlis dan luar majlis. Nak dan nak….Tidak salah berbelanja besar, sekali-sekala. Fikir sejenak, dengan gaji kita yang hanya beberapa angka, di mana nak cari duit sebayak itu? Oh ya, buat pinjaman peribadi! Tepat sekali keputusan di masa itu, tetapi beberapa tahun kemudian, anak sudah empat orang tetapi hutang masih belum habis dibayar! Salah siapa? Mengapa perlu memilih jalan sukar, sedangkan ada jalan yang mudah. Disinilah mentaliti perlu diubah. Kerja Kahwin ikutlah kemampuan. Tidak salah majlis kita melanggar kebiasaan dengan orang di sekeliling kita tetapi kita puas kerana tidak dibelenggu dengan hutang berpanjangan. Pada permulaan kehidupan kita sudah ikut pesan al-Quran sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, ““Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.” (Surah al-Furqan: 67). Islam itu mudah, ajarannya juga sesuai sepanjang zaman. Jadi mengapa perlu mempersulitkan keadaan dengan alasan tidak mengikut adat. Antara topik lain yang dibicarakan juga ialah pemberian mahar oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan.” (Surah al-Nisa; ayat 4). Mahar atau mas kahwin tidak susah untuk dipenuhi bergantung pada kadar yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam di negeri masing-masing. Walau bagaimanapun, ada negeri-negeri yang tidak menetapkan jumlah mahar. Maka terserahlah kepada pasangan yang akan berkahwin mengikut kerelaan dan keredhaan-Nya. Manakala bentuk mas kahwin boleh berupa wang atau barangan. Rasulullah SAW bersabda, “Engkau berikanlah perempuan itu, walaupun sebentuk cincin besi.'' (Riwayat Bukhari) Mas kahwin menjadi milik mutlak bagi isteri, wali tidak berhak sama sekali! Bagaimana pula dengan wang hantaran? Wang hantaran menjadi adat yang perlu diberikan kepada pengantin perempuan selain mahar. Sindrom ‘segan’ kepada saudara-mara dan jiran- tetangga yang sebelum ini meletakkan hantaran yang tinggi menyebabkan kita juga meletakkan hantaran yang tinggi sebagai tanda ‘sama’ atau ‘lebih’ daripada mereka. Maka sengaja meletakkan hantaran yang tinggi sebagai tanda bersaing dan untuk bermegah-megah. Sayidatina Aisyah R. Anha meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Perkahwinan yang besar keberkatannya ialah yang lebih mudah perbelanjaannya (maskahwin). (Riwayat Ahmad). Begitu juga hadis daripada Umar bin Al-Khattab, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Perkahwinan yang lebih baik ialah yang lebih mudah.”(Riwayat Abu Daud). Daripada Amir bin Rabiah RA katanya yang bermaksud, “Seorang perempuan daripada Bani Fazarah berkahwin dengan mas kahwinnya sepasang selipar. Maka Rasulullah SAW bersabda, “Adakah kamu redha dengan mendapat sepasang selipar sebagai maskahwin? Perempuan itu menjawab: Ya! Lalu Baginda membenarkannya.” (Riwayat al-Tirmizi) Hadis daripada Umar al-khattab RA katanya yang bermaksud,”Janganlah kamu berlebihan dan melampau dalam memberi maskahwin kepada perempuan. Sekiranya mas kahwin sebagai penghormatan di dunia ataupun tanda taqwa di akhirat, nescaya Rasulullah SAW lebih aula dan layak daripada kamu. Baginda tidak pernah memberikan isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya maskahwin melebihi 12 uqiyyah. (Riwayat Ahmad) Persediaan Ikut Kemampuan! Mengapa pula wahai bakal mertua yang akan beroleh menantu terlalu berbirokrasi dalam hal nikah hakwin ini, janganlah mempersulitkan keadaan. Yang hendak kahwin adalah si anak kita. Yang bakal kahwin dengan anak kita akan menjadi menantu kita. Jangan letakkan harga yang tinggi pada hantaran sehingga bakal menantu mengalami kesukaran terpaksa berhutang untuk memenuhi keinginan kita semata-mata. Jangan jadikan material sebagai piawaian utama kerana ia boleh memberi implikasi buruk kepada bakal pengantin seperti keberhutangan melampau. Hantaran yang diberikan kepada si pengantin perempuan biarlah dari pemberian yang ikhlas dan sebagai melahirkan rasa kasih sayang dalam hidup berumah-tangga. Tak perlu hantaran dalam bentuk wang beribu ringgit, set perhiasan emas beratus ribu, dan lain-lain. Cukuplah keihlasan yang menjadi tonggak dalam segala-galanya. Dengarkanlah betapa ramai masyarakat di sekeliling kita mengeluh tidak mampu tetapi terpaksa menghabiskan duit untuk berbelanja bagi majlis kahwin semata-mata untuk nampak “grand” dan tidak kalah dengan jiran tetangga, sahabat handai dan saudara-mara. Hantaran yang tinggi bukannya harga yang ditebus oleh seorang lelaki bagi mendapat seorang perempuan dari ibu dan bapanya. Jangan ada yang membeban dan terbeban dek kerana ‘tak ingin kalah dengan orang lain’.Hantaran tidak perlu mahal asalkan ikhlas dan ia merupakan hadiah kepada isteri.. Perkahwinan bukanlah bermaksud membentuk hubungan satu pasangan sahaja tetapi bermaksud hubungan seluruh keluarga. Melalui perkahwinan juga Allah memelihara diri kita, maruah kita daripada tercemar. Perbuatan maksiat, umpatan masyarakat dan lain-lain dapat dihindarkan. Betapa bahagianya jika cinta kita dilandasan yang benar dan sah di sisi hukum. Apa yang dicari lagi, kalau keberkatan bukan matlamat utama dalam membina rumah tangga. Sudahnya kemudharatan dari pelbagai penjuru tidak disangka-sangka akan menimpa diri. Justeru beringat sebelum berlaku perkara-perkara yang tidak diingini dalam hidup. Tepuk dada tanya selera…keberkatan yang kita mahu atau mudarat yang kita cari. Anak sudah besar hutang belum habis di bayar. Akibatnya bila bercerai, hutang masih belum habis dibayar. Sakinah, Mawwaddah dan rahmah jadi Dambaan Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahwat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Semua orang mendambakan keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah melalui ikatan perkahwinan yang sah. Jalannya permudahkanlah cara, mudah-mudahan perkara mudah yang menjadi berat disebabkan kekangan kewangan dapat diatasi. Kita tidak ingin melihat disebabkan keinginan untuk bermewah dan menunjuk-nunjuk semasa majlis tersebut diadakan akan mengundang musibah merbahaya yang akhirnya membawa kepada kehancuran nilai-nilai murni dalam masyarakat. Permudahkan. Ajaran Islam itu tidak sulit. Mengapa sesuatu yang mudah pada asalnya, disulitkan dengan satu keadaan yang boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar. Bayangkan pahala dan jaminan keberkatan yang didapati sehari demi sehari sebaik sahaja terlafaznya akad nikah dan bergelar isteri atau suami. Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dan al-Baihaqi, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku."

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Buat Si Pencuri

AYAT-AYAT CINTA

Rindu