Audit Diri Melalui iman, Taqwa dan Tazkiah Nafs

Mari kita rehat sebentar berfikir tentang belajar, kerja, rumahtangga dan sebagainya. Kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci utama kejayaan. Kita kata mahu menjadi ummat yang menbangun, tetapi bagaimana membangun dengan ertikata yang sebenar. Kita kata mahu jadi ummat yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar. Kita tidak mahu rugi dan dirugikan kerana kita bukanlah diciptakan hanya untuk bermain tetapi ada tanggungjawab yang harus disempurnakan. Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran mengenai ciri-ciri orang yang berjaya dalam al-Quran. Antaranya melalui peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah diri. Tidak ada orang yang jika diberi pilihan, mahu gagal atau berjaya, memilih kegagalan dalam hidup begitu juga dengan diri kita. 1. Bagaimana meningkatkan iman dan taqwa Jika ditanya kepada kita adakah kita seorang yang beriman? Ya atau tidak bukanlah jawapan secara spontan tetapi perlu muhasabah diri sejauhmana kita yakin akan wujudnya Allah SWT, benar-benar yakin akan kekuasaan-Nya yang menjadikan seluruh isi alam ini termasuk segala hidupan dan dustur yang telah ditetapkan oleh-Nya. Sesunguhnya kita tidak berkuasa melakukan suatu apa pun hatta untuk menggerakkan anggota badan kecuali dengan izin-Nya. Jika semua manusia yakin terhadap kuasa Allah, sudah tentu manusia akan patuh dan taat akan segala perintah-Nya sehingga manusia tidak sekali-kali melakukan kemungkaran. Perkara asas seperti rukun Islam dan rukun Iman diaplikasikan dalam kehidupan seharian sehingga lahirnya manusia yang beriman menjadi hamba yang bertaqwa pula. Firman Allah SWT dalam surah al-Araf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi….” Keimanan menjadi asas dalam mencapai keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkahan yang melimpah ruah dari langit dan dari bumi. Iman dapat dikatakan sebagai penawar atau ubat yang boleh merawat segala penyakit dalam masyarakat. Keberkatan akan terlihat bila masyarakat hidup dalam keadaan aman dan damai. Semasa Nabi Muhammad SAW diutuskan, masyarakat pada masa itu berada dalam keadaan tidak tenteram dan menghadapi krisis nilai. Manusia sesat dalam pemujaan dan pengabdian. Sesat dalam aqidah dan pemikiran. Mereka juga ragu-ragu terhadap kebenaran dan yakin pula terhadap kebatilan. Kejahatan berleluasa, amalan riba, kezaliman seperti pembunuhan dan menanam anak perempuan hidup-hidup menjadi-jadi. Keadaan menyebabkan mereka ditimpa bala bencana daripada Allah SWT. Rasulullah telah berusaha merawat segala penyakit masyarakat dengan iman. Melalui keimanan inilah, masyarakat Islam dibangunkan dan peradaban Islam bermula. Dengan nikmat iman inilah kita dapat mengecapi kehidupan bergama pada hari ini. 2. Peningkatan ilmu pengetahuan Ilmu pengetahuan sangat penting dalam kehidupan seseorang. Ilmu merupakan pelengkap ke arah insan yang beriman, pelengkap ke arah kekuatan fizikal dan tunjang utama kepada kemajuan umat Islam. Ia boleh dianggap sebagai kunci utama untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Pada zaman awal pemerintahan Islam di Andalus, telah memperlihatkan perkembangan ilmu pengetahuan secara positif yang mana Andalus menjadi tempat pertumbuhan ilmu kesusasteraan Arab, ilmu Atronomi, falsafah, perubatan dan lain-lain. Sejajar dengan perkembangan ilmu pengetahuan di Andalus, institusi pendidikan juga turut mengalami perubahan. Jika pada awalnya aktiviti keilmuwan berpusat di masjid, namun setelah beberapa ketika bangunan-bangunan khusus didirikan untuk tujuan pendidikan sehingga menurut sejarah wujudnya perpustakaan di Andalus merupakan gambaran utama perkembangan dan pertumbuhan ilmu. Memperkasakan budaya ilmu harus dilaksanakan secara berterusan dan seimbang supaya negara kita melahirkan generasi dan ummah yang berwawasan. Justeru dalam pembangunan modal insan, program pendidikan turut diberi perhatian bermula pendidikan prasekolah dan rendah hingga kepada pendidikan khas serta peningkatan kualiti dalam kurikulum dan pembangunan guru diperkukuhkan demi pembangunan ummah. Sebagai umat Islam kita mesti turut serta dalam meneroka ilmu pengetahuan dan memanfaatkan ilmu pengetahuan yang ada untuk kegunaan diri, masyarakat dan bangsa. Jangan biarkan diri kita hanyut dalam arus pembangunan material sahaja. Jangan biarkan kebodohan dan kejahilan mengisi ruang kehidupan kita. Taqwa kepada Allah dengan cara berjuang, beramal soleh dan istiqamah. Untuk mendapat iman yang benar dan tepat, Allah SWT memberi nasihat agar kita sentiasa berpesan-pesan , dan beringat-ingat agar mencari ilmu yang benar 3. Peningkatan Tazkiah yang dimaksudkan ialah penjernihan jiwa dan ketinggian akhlaq. Sebagai umat Islam hati hendaklah sentiasa bersih daripada sifat tercela dan mengamalkan akhlaq mulia dalam kehidupan. Orang yang berakhlaq dapat dilihat dalam hubungan dengan Tuhan iaitu ketika melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta menyampaikan rasa syukur di atas nikmat dan rahmat Allah. Akhlaq manusia terhadap Allah bertitik tolok dari pengakuan kalimah La Ilaha Illallah . Melalui pengakuan itu akan lahirlah segala sikap dan tingkah laku seperti mensucikan Allah dengan sesuatu yang lain dan sentiasa memujinya, bertawakkal kepada Allah dan berbaik sangka kepada Allah. Manakala akhlaq terhadap sesama manusia dapat dilihat apabila seseorang itu berbuat baik kepada orang tua, kaum kerabat dan tetangga. Akhirnya, akhlaq terhadap alam sekitar juga dianjurkan oleh al-Quran berdasarkan fungsi manusia sebagai khalifah. Justeru manusia harus memelihara akhlaq tersebut supaya tidak berlaku kerosakan-kerosakan di muka bumi ini. Islam menyeru umatnya untuk melakukan islah yang bermaksud pembaharuan/perubahan kerana tanpanya manusia akan kekal ditakuk lama. Oleh yang demikian menjadi tanggungjawab setiap umat untuk berubah dan perubahan itu boleh dilakukan secara bertahap sehingga akhirnya perubahan akan membangunkan ummah yang cemerlang dan terbilang.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Buat Si Pencuri

AYAT-AYAT CINTA

Rindu