Nasihat Buat Si Pencuri

Takutlah Wahai Si Pencuri Takutlah balasan Allah, Jika tidak dapat di Dunia di Akhirat Pasti di Balas Mencuri Yang Dilarang Teringat citer emak, orang kampung takut pakai barang kemas, takut dilihat pencuri, nanti kalau tiada orang di rumah, si pencuri akan masuk ke rumah mengambil barang kemas.Bukan itu sahaja bila diajukan soalan kenapa nak call emak susah sangat. Mak jawab call ajer pakai handset sebab kabel telefon pun orang curi. Kasihan sungguh....Rumah emak berkunci, kehidupan seperti rumah di bandar besar jugak rupanya. Jeriji besi menghiasi pintu dan jendela, tak ubah dengan rumah saya di bandar. Ingatkan kehidupan di kampung tidak seperti di bandar. Alahai telahan saya salah, saya lupa kita semua manusia. Kata emak, sebaik saja TNB gantikan kabel yang baru, tak sampai beberapa hari pasti kabel itu akan hilang lagi.. Jahat sungguh si pencuri. Anak siapa mereka? Anak jiran kitakah? Atau anak orang dari kampung seberang? Biarlah siapapun mereka kita kena berhati-hati. Citer lain, perbuatan mencuri bukan sahaja berlaku di kampung tapi dimana-mana sahaja, termasuk juga di bandar-bandar besar. Keadaan ini berlaku juga di tempat-tempat awam termasuk di sekolah-sekolah dan juga masjid atau surau. Timbulnya pertanyaan, Apakah tujuan mereka mencuri? Sedarkah bahawa mencuri itu perbuatan yang mengundang dosa. Bagaimanakah rasanya bila hari ini kita mengambil hak orang, tapi suatu hari nanti orang lain pulak mengambil hak kita ? Tambahan lagi barang itu, barang berharga.... Wahai si pencuri sedarlah....Manusia memang tidak nampak apa yang kamu lakukan tapi Allah nampak apa yang kamu lakukan. Takutlah pandangan Allah dan balasan Allah terhadap perbuatan kamu yang mengambil hak orang lain. Masih belum terlambat seandainya kamu mengambil harta orang, untuk bertaubat, minta maaflah pada yang empunya barang yang engkau ambil.Ingatlah bertaubatlah sebelum nyawa di ambil, betapa azab-Nya orang yang melakukan kejahatan sebelum sempat ia bertaubat, nyawanya dijemput pergi...... Di Kampung juga, susu getah yang dibekukan turut di curi, apa nak jadi dengan si pencuri? Tidak takutkah balasan Tuhan. Perbuatan mencuri boleh terjadi dimana-mana, baik di tempat kerja, di sekolah, di super market dan di mana-mana sahaja. Maaf, jika tuan yang empunya barang tidak nampak, tapi Allah itu Maha Tahu. Dia Tuhan yang menjadikan kamu, Dia Maha tahu segala-galanya. Gerakan atau bisikan hati nurani di awal perlakuan Dia sudah Mengetahui, apalagi ketika kamu saat mengambil barang kepunyaan Orang. Takutlah wahai hamba, jiwa yang asalnya baik, kenapa mudah mengikut hawa nafsu, mencuri untuk kepuasan diri, bergembira di atas kesedihan orang lain. Adakah kamu gembira atas kesedihan orang lain? Tidak ada rasa simpatikah mengambil hak orang atas usaha dan penat lelah orang lain. Untuk mendapatkan seringgit dua, untuk dibelanjakan bagi membeli makanan, pakaian dan lain-lain untuk diri dan untuk anak-anak. Tidak takutkah menyuapkan semulut makanan yang kamu beli daripada duit haram? Ayuh bertaubatlah......jangan mencuri lagi..... Dinamakan pencuri apabila ia mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan diambil daripada tempat penyimpanan. Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan Allah berfirman yang maksudnya: ”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah Maha perkasa lagi Maha bijaksana”(Surah Al- Maidah ayat 38) Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas” (Riwayat Bukhari Muslim) Ibrah kepada Si Pencuri: -Jika ada niat untuk memindahkan harta orang lain secara bersembunyi.Ingat niat kamu itu diketahui Allah. -Jika mengambil sesuatu tanpa pengetahuan tuannya, Ingat bahawa Allah Maha Melihat. Melihatnya Allah tanpa batasan. -Jika kamu mengambil barang orang, Ingatlah suatu hari jangan menyesal jika Allah memberi balasan yang setimpal dengan pekerjaan kamu yang menganiayai dan menzalimi orang lain. -Orang yang mencuri dan melakukan kejahatan, bertaubatlah supaya Allah melapangkan rezeki untuk kamu, menyelesaikan masalah yang kamu hadapi, memintalah pada Dia yang memberi rezeki. -Duit yang kamu curi, harta yang kamu ambil tidak ada keberkatan, ia akan pergi dan habis begitu sahaja. Jika ia kamu gunakan untuk kamu dan anak-anak kamu, kamu makan makanan yang haram, jika kamu pakai, kamu pakai, pakaian yang haram, seluruh kehidupan di cemari dengan perbuatan mencuri, selayaknya bertaubatlah sebelum terlanjur lebioh jauh. -Kembali kepada Allah, cari redha-Nya dengan mengharapkan rezeki daripada-Nya,Jangan berharap kebergantungan hidup pada manusia tapi, bergantung haraplah pada Allah. Insaflah, wahai si pencuri: -Hidup ini adalah sementara. -Dunia ini diibaratkan sebuah pentas dan kita adalah pelakonnya, Sudah tentu jika kita pelakon, kita mengikut arahan “director” supaya kita menjadi pelakon yang terbaik. -Begitulah juga bilamana kita ini adalah hamba Allah yang dipinjamkan nyawa buat seketika, rebutlah peluang menjadi hamba yang terbaik supaya di alam sana kita hidup dalam keadaan terbaik juga, malah lebih baik sebab di dunia kita mengikut garis panduan yang telah diarahkan oleh Allah SWT. Mencuri Yang DiBenarkan Jika kalian adalah seorang pekerja seperti saya, mari kita curi hari bos kita, mulai hari ini, curi hatinya mengalih pandangan untuk kita dengan dia melihat kita sebagai pekerja yang baik, amanah dan boleh dipertanggungjawabkan. Mari kita sedar diri, bilamana kita diterima bekerja sudah pastilah, kita akan mendapat imbalan/gaji hasil daripada pekerjaaan yang kita lakukan. Adilkah kita memanjangkan tangan mengambil duit contohnya, atau mencuri hak bos kita, sedangkan dia menyediakan peluang pekerjaan untuk kita yang dapat membantu kita memenuhi keperluaan diri dan keluarga, Selama manakah kita mahu panjang tangan? Mari ubah sikap kita, tanamkanlah kepercayaan bos kepada kita, begitu juga kawan-kawan kita yang mungkin kawan sekerja dengan kita. Curi hati mereka untuk bersatu hati dengan kita dalam menjalankan amanah yang diberikan. Curi hati mereka untuk saling menyayangi kerana Allah, hidup bantu membantu, tolong menolong. Curi hati mereka untuk ikut perintah Allah. Buat apa yang disuruh, tinggal apa yang dilarang. Sekilas Cerita yang Ku Petik daripada :http://www.mymasjid.net.my/?mod=article_content&mod2=2179 buat renungan bersama. Mohon Maaf pada penulis blog ku salin cerita ini untuk renungan bersama: Di zaman Nabi Musa a.s. ada seorang hamba Allah yang kerjanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu hari, dia terlihat Nabi Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa a.s. Katanya’ “ Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku.” Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, “Aku ini pencuri. Manalah layak pencuri macam aku ini berjalan bersama seorang nabi.” Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa a.s. dari belakang. Si abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang. Si pencuri itu berkata di dalam hatinya, “Baik aku berjalan bersama di abid ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku.” Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, “Celaka aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rosak segala kebaikan dan amalanku.” Si abid terus berlari laju supaya si pencuri tidak dapat ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, “ Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah.” Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi. Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah. Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah. Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan. Si abid pula, amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia membuat ibadah. Hingga dia rasa tidak layak bergaul, inikan pula berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi. Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya. Fikir-fikirlah...

Comments

abu haniff said…
teruskanlah perjuangan ...teruskanlah menulis..
ariyati said…
terima kasih...
Unknown said…
hehehe.. dpt gak skodeng blog ni..
Ummu Fath said…
abu Haniff: TK atas sokongan anda
Ariyati: Semoga memberi manfaat untuk semua
ahanieza azhar: Skodeng jangan tak skodeng...
Ummu Fath said…
abu Haniff: TK atas sokongan anda
Ariyati: Semoga memberi manfaat untuk semua
ahanieza azhar: Skodeng jangan tak skodeng...

Popular posts from this blog

AYAT-AYAT CINTA

Rindu