Apa yang Terjadi Hari Ini
Cuaca panas dan kemarau ketika ini merupakan salah satu ujian kepada
kita. Beberapa negeri telah mengalami
masalah kekurangan air bersih iaitu di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Johor
dan Melaka. Sepanjang waktu ini, penurunan paras air di beberapa empangan
terutamanya di Selangor telah memberi kesan
terhadap bekalan air kepada orang ramai. Di sebahagian tempat di Selangor, Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas) telah melaksanakan pengagihan air berjadual iaitu selama dua hari sekali.
Jadual pengagihan air ini dilakukan bagi mengawal penggunaan sumber air mentah
daripada empangan yang mengalami penurunan paras kritikal.
Penggunaan air secara berhemah dan tidak membazir sangat diperlukan di kalangan pengguna hari ini. Menurut
laporan dari Malaysia Water Industry
Guide 2013, penggunaan air domestik perkapita sehari telah meningkat dari
210 liter pada tahun 2011 kepada 212 liter dan dijangka terus meningkat. Oleh
yang demikian, kesedaran tentang
penggunaan air secara berhemah sangat penting bukan sahaja pada ketika
ini tetapi juga pada hari-hari biasa juga.
Dalam menangani isu ini, Jabatan
Meteorologi telah menjalankan operasi pembenihan awan bagi menghasilkan
hujan berikutan cuaca panas dan berjerebu
di Selangor. Pembenihan awan merupakan salah satu usaha bagi
mendorong berlakunya hujan dan bukannya mencipta hujan tiruan. Operasi
pembenihan awan telah dilakukan pada 3 Mac 2014 dan mengikut perancangan
sehingga 16 Mac 2014. Menurut Pengarah
Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awam, Jabatan Meteorologi dalam Utusan
Malaysia bertarikh 9 Mac 2014, operasi pembenihan awan akan diteruskan seperti
biasa dengan memberi tumpuan kepada kawasan empangan dan tadahan air yang
mengalami masalah paras air kritikal. Kawasan-kawasan yang mempunyai keadaan awan berpotensi tinggi
untuk hujan turun akan diberi tumpuan. Melalui pembenihan awan ini juga diharap
dapat membantu mengurangkan masalah jerebu yang turut melanda sesetengah
kawasan dan turut menjejaskan kualiti udara.
Dari sudut kesihatan, cuaca panas melampau mendatangkan suasana yang tidak selesa,
kira-kira 30 juta rakyat Malaysia kini terdedah dengan bahaya serangan strok
haba yang berpunca daripada cuaca panas dan kering yang berterusan. Antara
simptomnya ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam
suhu panas dan denyutan nadi menjadi pantas. Bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan
akibat cuaca panas melampau adalah digalakkan
meminum air kosong dengan banyak, meminum minuman isotonik yang dapat
menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh, mengehadkan
aktiviti luar dan mengelakkan bersenam dalam cuaca panas.
Selain masalah cuaca panas, masalah jerebu yang berterusan juga memberi
kesan yang buruk pada kesihatan
seseorang terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua dan mereka
yang mengalami penyakit asma, bronkitis, radang paru-paru, jantung dan alahan
hendaklah sentiasa berwaspada dengan keadaan ini dan sekiranya mengalami
simptom seperti gatal di bahagian
kerongkong, batuk, sukar bernafas, sesak nafas dan terasa sakit dada hendaklah
segera mendapatkan rawatan.
Dalam hal ini, manusia hanya mampu berusaha tetapi manusia juga harus tahu untuk meminta dan bergantung harap kepada Allah SWT supaya segala usaha yang dilaksanakan dipermudahkan oleh-Nya. Bagi menyelesaikan permasalahan ini Islam turut mengajar umatnya supaya melaksanakan sembahyang Istisqa’.
“Setiap masyarakat di seluruh negeri di Malaysia disyorkan untuk mengadakan sembahyang Istisqa’ dengan lebih kerap. Sembahyang ini merupakan sembahyang yang dikerjakan secara spesifik untuk meminta kepada Allah SWT agar menurunkan hujan di saat terjadinya kemarau” Abdullah bin Zaid al-Ansari R.Anhu bahawa Rasulullah SAW keluar ke tempat sembahyang untuk mengerjakan sembahyang meminta hujan dan bahawa baginda apabila hendak berdoa (dalam khutbahnya sesudah sembahyang), ia menghadap kiblat dan mengalihkan kain selempangnya dari bahu kiri ke bahu kanan. (Riwayat Muslim). Hadith ini dan banyak lagi hadith lain menjadi dalil bahawa sembahyang meminta hujan di syariatkan dalam Islam dan digalakkan mengerjakannya apabila daerah kita mengalami musim kemarau.
“Setiap masyarakat di seluruh negeri di Malaysia disyorkan untuk mengadakan sembahyang Istisqa’ dengan lebih kerap. Sembahyang ini merupakan sembahyang yang dikerjakan secara spesifik untuk meminta kepada Allah SWT agar menurunkan hujan di saat terjadinya kemarau” Abdullah bin Zaid al-Ansari R.Anhu bahawa Rasulullah SAW keluar ke tempat sembahyang untuk mengerjakan sembahyang meminta hujan dan bahawa baginda apabila hendak berdoa (dalam khutbahnya sesudah sembahyang), ia menghadap kiblat dan mengalihkan kain selempangnya dari bahu kiri ke bahu kanan. (Riwayat Muslim). Hadith ini dan banyak lagi hadith lain menjadi dalil bahawa sembahyang meminta hujan di syariatkan dalam Islam dan digalakkan mengerjakannya apabila daerah kita mengalami musim kemarau.
Sebenarnya
terdapat tiga cara untuk meminta hujan turun. Antaranya: pertama, dengan cara berdoa kepada Allah pada bila-bila masa
yang disukai, kedua, berdoa selepas bangun daripada rukuk pada rakaat terakhir
sembahyang yang diwajibkan, atau selepas selesai sembahyang, ketiga, cara ini
dijadikan bab yang khusus iaitu sembahyang minta hujan dengan melakukan beberapa perkara lain seperti yang dinyatakan
dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.
Hikmah di sebalik ujian ini ialah kita diajar untuk memohon langsung kepada Allah SWT,
menyerah diri kepada-Nya, mengharapkan belas kasih-Nya dan dalam masa yang sama
mengakui dan meyakini kebesaran dan kekuasaan-Nya.Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW
ketika meminta hujan adalah seperti yang berikut:
Ya Allah! Jadikan hujan itu rahmat,
bukan azab, bukan kemusnahan, bukan bala, bukan kehancuran dan bukan kebanjiran.
Ya Allah, turunkan hujan ke atas
bukit-bukit, kawasan berpasir, kawasan tumbuh-tumbuhan dan kawasan lembah.
Ya Allah, turunkanlah hujan di sekeliling kami, bukan di atas kami.
Ya Allah, turunkanlah hujan yang menyelamatkan kami dari kegetiran, hujan
yang menyegarkan dan menyuburkan, hujan yang turun lebat di merata bumi, hujan
yang sentiasa mendatangkan manfaat sehingga hari kiamat.
Ya Allah, siramilah kami dengan hujan dan
janganlah Engkau jadikan kami golongan
yang berputus asa.
Ya Allah, seseungguhnya hamba-hamba-Mu
dan negara ini telah didatangi kesukaran, kesempitan hidup dan kelaparan. Kami
tidak mengadu melainkan kepada-Mu.
Ya Allah, tumbuhkanlah tanam-tanaman kami,
banyakkanlah susu ternakan kami, turunkanlah kepada kami keberkatan daripada langit dan tumbuhkanlah bagi kami dari bumi
tanama yang berkat. Hindarkanlah bala bencana daripada kami yang tiada
sesiapa yang boleh menghindarkannya
selain-Mu.
Ya Allah, kami memohon keampunan-Mu,
sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang Maha Pengampun, maka turunkanlah hujan
yang lebat ke atas kami.” Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Syafi`id an lain-lain)-Dipetik
daripada al-Fiqh al-Manhaji Mazhab al-Syafi’i
Kita mesti yakin dengan kuasa Allah SWT, Dia yang bijak merancang
dan mentarbiyah manusia, sudah pasti segala peristiwa yang berlaku ini
bertujuan memberi peringatan dan mengajak umat-Nya untuk berfikir. Bukankah dalam al-Qur’an banyak menceritakan fenomena
alam yang berlaku seperti peristiwa banjir besar, gempa bumi, ribut taufan,
kejadian siang dan malam dan sebagainya? Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran,
ayat 90-91 yang bermaksud: “Sesungguhnya
dalam penciptaan langit dan bumi, dan
silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang
berakal. (Iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk
atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit
dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini
dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.”
Daripada ayat tersebut, kita semua dapat mengambil ibrah bahawa setiap kejadian yang
berlaku mempunyai hikmah yang tersendiri dan kita berharap dengan kejadian yang
berlaku hari ini memberi ruang untuk
bermuhasabah diri dan memberi keinsafan serta membuka hati masing-masing untuk
mempertingkatkan iman dan taqwa kepada Allah SWT. Semoga kemarau dan jerebu yang berlaku ketika ini
semakin pulih dan seluruh masyarakat di negara kita terpelihara dari wabak
penyakit akibat kesan sampingan dari fenomena tersebut.
Negara kita juga turut dikejutkan dengan
kehilangan pesawat MH370, setakat ini operasi mencari dan menyelamat telah
dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk juga bantuan daripada negara luar. Kita
tidak dapat menafikan pelbagai spekulasi dan andaian dibuat dan dikeluarkan
dalam media termasuk dalam laman sosial. Sehubungan itu, bagi mengelakkan perkara
ini lebih berleluasa dinasihatkan masyarakat khususnya pengguna laman sosial supaya
berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan dan pendapat serta mengelakkan
daripada menyebarkan maklumat palsu supaya tidak menyinggung perasaan mana-mana
pihak terutama keluarga penumpang yang ketika ini dalam keadaan bersedih.
Mereka perlu diberi sokongan dan ruang untuk bersikap lebih tenang.
Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, menteri di Jabatan Perdana Menteri
ketika memperkatakan tentang bantuan semua pihak dalam usaha mengesan pesawat
tersebut berkata, ”Kerajaan mengalu-alukan bantuan semua pihak dalam usaha
untuk mengesan pesawat yang masih lagi belum ditemui sehingga kini. Apa yang
penting, pertolongan itu perlu berlandaskan syariat dan hukum Islam.” Apapun kita berserah kepada Allah SWT di atas
setiap kejadian yang berlaku dan hadapilah dengan sabar. Islam juga mengajar cara melaksanakan solat
sunat hajat ketika menghadapi kesulitan dan mohon keselamatan serta diberi
petunjuk oleh Allah SWT.
Islam juga menggariskan beberapa panduan bagi menghadapi segala ujian, antaranya:
1. Menetapkan keyakinan dalam hati bahawa setiap musibah yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT. Kita diuji kerana Allah sayangkan kita.
2. Menahan dan mengawal diri dengan sabar.
3. Banyakkan berdoa dan berzikir kerana Allah SWT sangat suka mendengar rintihan hamba-Nya
Dalam al-Qur’an banyak diketengahkan sifat
sabar. Sabar bermaksud tabah dalam menempuh sesuatu musibah atau kesukaran. Ia
merupakan sifat terpuji sehinggakan sifat ini dianggap sebagai salah satu maqam
yang tinggi dalam disiplin ilmu tasawuf dalam mencapai makrifatullah. Allah menyebutkan orang-orang yang sabar
dengan berbagai-bagai sifat dan menyebutkan kesabaran dalam al-Qur’an lebih
dari sembilan puluh tempat. Antaranya
dalam surah al-Baqarah, ayat 153 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah bersama
orang-orang yang sabar.” Dan dalam surah Ali Imran, ayat 200 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah
kesabaran kamu…”
Sifat sabar turut disebut juga dalam hadith-hadith Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, jika kita diuji dengan
ujian yang sangat berat untuk dipikul, jangan kita bersungut, sebaliknya
hadapilah ia dengan penuh sabar dan tawakkal kepada Allah. Jika menerima musibah atau
ujian yang terlalu berat, bayangkan bahawa ada ujian yang lebih besar dan lebih teruk menimpa orang
lain berbanding dengan apa yang kita
alami. Terimalah ujian itu dengan sabar dan ingatlah janji Allah terhadap orang-orang
yang bersabar iaitu ganjaran berganda, golongan yang bersama Allah dan menjadi
orang yang beruntung. Ingatlah, ujian yang diterima bukanlah beban, sebaliknya
ia merupakan nikmat bagi manusia sebagai
bekalan di akhirat. Sekalipun kita mengetahui betapa besarnya pahala orang yang
sabar ketika ditimpa ujian dan musibah,tetapi
jangan sekali-kali kita memohon kepada Allah
memberikan musibah kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Comments