Rahsia Hayat dan Maut


Pada hemat kita yang diam tidak bergerak itu adalah mati, manakala yang subur dan bergerak itu adalah yang hidup. Pernahkah kita  memperhatikan pada tumbuhan-tumbuhan iaitu keluarnya tumbuh-tumbuhan dari biji benih dan keluarnya biji benih dari tumbuh-tumbuhan, begitu juga pada kehidupan binatang, keluarnya ayam dari telur dan keluarnya telur dari ayam.


Betapa menakjubkan jika kita memperhatikan keadaan ini. Allah Maha Suci  dan  Allah Maha Besar . Kita sedar bahawa disebalik  biji benih dan telur itu bukanlah berada pada yang mati, tetapi berada pada yang hidup, kerana didalam kedua-duanya terdapat hayat yang tersembunyi dan persediaan ke arah hayat yang seterusnya, yang juga turut akan membawa jenis baka atau warisan yang  mana kehidupannya juga sungguh menakjubkan. Itulah ciptaan Allah yang Maha Hebat. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Yunus ayat 31 yang bermaksud: "Dan siapakah yang berkuasa mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup?"

Dihadapan rumah itu buah markisa, ciku, malberri sedang berbuah, juga sayuran terung dan mentimun, serta cili betapa hebatnya kejadian Tuhan, begitu juga dengan pohon tin yang disayang suami kerana keunikan spesisnya telah menyebabkan Encik Suami jatuh cinta pada tanam-tanaman.


Dibelakang rumah sepasang sang arnab sedang menunggu makanan, setiap pagi Encik Suami akan membawa daun malberi untuk  sang arnab yang cantik pemberian Kak Fizah dan Abang Adi. Di situ juga ada ikan haruan peliharaan sedang menanti-nanti makanan kesukaannya.


Betapa indahnya pagi ini, bila melihat disebalik kehidupan ada kehidupan lain.  Melihat pada biji mangga yang tersidai di jendela dapur yang keluarnya dari tumbuhan dan pokok mangga sudah cukup menyedarkan kita betapa kita tak punya apa-apa sebenarnya, sungguh perasaan ini diulit rasa terharu betapa luasnya rahmat dan kasih sayang Allah untuk hamba-Nya. Apa tidaknya tanaman akan berbuah, sang arnab akan melahirkan, begitu juga sang ikan akan menjadi lauk kesukaan anak-anak. 


Dalam biji mangga dimana tersembunyi tangkai, ranting, akar, batang dan daun? Dalam sebiji telur, aku katakan pada anak-anak sebenarnya kita makan seekor ayam! Sambil menggeleng, mereka kata hendak makan ayam, itu telur namanya....Inilah asal kehidupan seekor anak ayam bermula dari sebutir telur yang nampak tidak bergerak sebenarnya ada hayat yang tersembunyi, Nanti bila kalian sudah boleh memahami, akan mama khabarkan pada kalian betapa indahnya sebuah kehidupan, hati bermonolog sendiri.


Dimanakah  letaknya anak ayam dalam telurnya? Dimana tersembunyi bahagian tulang, daging, bulu-bulu halus dan bulu-bulu kasar, warna dan tapung-tapungnya, di mana letaknya bahagian yang mengiraikan sayap-sayapnya dan bahagian yang membunyikan kokoknya? adakah kita boleh berkata bahawa alam yang luas terbentang dihadapan kita ini dipenuhi dengan hidupan menghijau dan melata pada asalnya tersembunyi dalam biji benih tumbuh-tumbuhan, dalam telur-telur hatta kita sendiri asalnya dari dalam ovum yang terletak pada rahim seorang ibu? Inilah sebuah kehidupan atau hayat yang perlu difahami dan puncak pemahaman adalah wujudnya qudrat dan pentadbiran Allah dalam alam semesta ini.


Dalam banyak ayat-Nya Allah SWT mengajak umat sentiasa berfikir.  Berfikir, bukan hanya fikir tetapi dengan berfikir kita akan menemukan pelbagai jawapan, menemukan jawapan bermakna akan menemukan pelbagai penemuan baru khususnya dalam rahsia hayat dan maut,  kejadian yang hidup dikeluarkan dari yang mati dan sebaliknya, termasuk perubahan unsur-unsur melalui beberapa peringkat hingga akhirnya menuju kepada maut atau menuju ke arah hayat. Dengan pelbagai penemuan ini kita akan sedar siapalah kita di dunia ini, hanyalah seorang hamba yang mengharapkan belas kasih Allah. Hayat adalah sebuah kehidupan yang aneh dan menarik, mencabar akal dan hati manusia dengan pelbagai tanda tanya yang tidak dapat dijawab seluruhnya kecuali dengan akhirnya kita akan temu jawapan kewujudan Allah SWT dan kekuasaan-Nya yang mengurniakan hayat dan yang mentadbirkan segala kehidupan ini.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Buat Si Pencuri

AYAT-AYAT CINTA

Rindu