Lembaran Baru: Hari Ini lebih Baik dari Semalam!
A
|
ku yang dulu bukanlah yang
sekarang. Lirik lagu ini telah menjadi dendangan anak-anak kita hari ini, siapa yang tidak
kenal Tegar? menariknya lagu ini menggambarkan diri sebenar si penyanyi cilik yang
berubah dari dahulunya keadaan sukar kepada kehidupan yang lebih baik. Bagaimana dengan diri kita? Adakah kita boleh
melakukan perubahan? Jawapannya sudah tentu kita juga boleh! Mengapa tidak?
tetapi ianya perlu ada niat dan disertai azam, juga usaha untuk berubah. Memasuki awal Muharram 1435H bermakna lembaran baru bermula dan ini bermakna lembaran lepas
yang bercoret dengan pelbagai rona
kehidupan suka dan duka menjadi kenangan dalam diari kehidupan seseorang.
Sebagai hamba Allah yang telah diberi berbagai taklif, kita hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dalam menjalankan
amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Hari
ini masyarakat berkata tentang Key Performance Indicator (KPI)/ Petunjuk
Prestasi Utama untuk mengukur kualiti, prestasi dan pencapaian seseorang bagi
menjayakan agenda sesebuah jabatan atau organisasi. Mari kita bertanya pada
diri bagaimana pula KPI kita dihadapan Allah SWT? Menyedut firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud, ”Sesungguhnya orang yang paling mulia di
antara kalian disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kalian.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Mendengar.””
Kalau namanya kita
sebagai hamba, sudah tentu
menuntut tanggungjawab untuk mengabdikan
diri kepada Yang Maha Kuasa. Menariknya,
meskipun sebagai hamba, kita diberi kedudukan sebagai khalifah Allah dengan
berbagai-bagai pula kelebihan jika dibandingkan dengan makhluk yang lain. Betapa
beruntungnya kita menjadi hamba Allah. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah
memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan
telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? ....
(Surah Luqman, ayat 20) .
Sucikan hati dan Serahkan Jiwa
Tentunya sebagai
hamba jua kita dituntut untuk sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam
melaksanakan tugas hakiki. Tugas ini memerlukan semangat juang yang tinggi, mematuhi
segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang terlarang dan dilarang,
tanpa segala bentuk persediaan, kita bimbang tugas tersebut gagal dilaksanakan
dan tidak mencapai kesempurnaan. Oleh
yang demikian perkara utama yang perlu
dilakukan ialah penyucian hati dan penyerahan jiwa sepenuhnya kepada Allah SWT sebagaimana
yang sering kita ucapkan disaat kita mengerjakan shalat. Firmankan Allah SWT dalam surah al-An`am ayat
162 yang bermaksud, “Katakanlah
(Muhammad), ‘Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk
Allah, Tuhan seluruh alam.”
Niat dan Azam
Niat bererti keinginan untuk melakukan sesuatu perbuatan dan dalam agama
Islam, niat memiliki posisi yang sangat penting kerana Allah SWT akan
memberikan balasan atas perbuatan seseorang berdasarkan niat dan perlakuan.
Melihat pentingnya niat dalam apa jua perkara, kita hendaklah memasang niat dan
disertai azam, walaupun kita sudah berada dipenghujung tahun masihi, tetapi
kita baru melangkah ke tahun hijri, niat dan azam tidak semestinya di awal
tahun masihi atau hijri sahaja, tetapi ia terbuka sepanjang masa. Niat yang
baik, Insya-Allah akan dimakbulkan, sementelah pula diiringi dengan azam iaitu
kemahuan yang tinggi untuk melaksanakan sesuatu perkara. Dengan keazaman tersebut,
sudah pasti kita akan berjuang untuk memperoleh apa yang diingini dalam hidup.
Adakah kita pasti redha Allah yang kita ingin atau sebaliknya? Jika redha Allah
yang ingin dicari, mari kita berusaha untuk tingkatkan amalan supaya kita capai
KPI kita sebagai hamba Allah yang beriman dan bertaqwa.
Dalam sebuah perjalanan kita akan melalui pelbagai ujian, cabaran dan
rintangan, adakalanya kita akan tersungkur dan bangkit semula meneruskan
perjalanan, jika tidak ada keazaman yang kuat, kita pasti gagal untuk berjaya
ke akhir perjalanan. Dalam keazaman itu, kita jua hendaklah sentiasa
bertawakkal sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 yang
bermaksud, ”...apabila kamu telah berazam,
maka bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Menyukai orang-orang yang bertawakkal”
Sesungguhnya Allah Menyukai orang-orang yang bertawakkal”
Usaha dan Tawakkal
Ahmad Mustapha
al-Maraghi berkata dalam kitab tafsirnya, ”Serahkanlah sesuatu kepada Allah,
setelah mempersiapkan diri dan mempunyai sarana yang cukup untuk meneliti
sebab-sebab yang telah dijadikan oleh Allah untuk dapat mencapainya. Jangan
sesekali kalian percaya dengan kemampuan diri dan kuasa sendiri, juga jangan
terlalu yakin dengan pandangan dan sarana yang
cukup memadai, kerana semua itu tidak cukup untuk menunjang terhadap sesuatu
kejayaan. Selagi tidak diiringi dengan pertolongan dan taufik Allah SWT.” Oleh sebab itu kita perlu berserah diri kepada Allah
SWT dalam apa jua keadaan, tidak memadai dengan
hanya memasangkan niat, azam dan usaha
sahaja. Sebenarnya banyak dugaan dalam menuju sesuatu perkara, dan kita tidak
dapat menduga cara kita diduga.
Pastikan Ada
Perubahan!
Masih belum terlambat, untuk
merealisasikan hari ini lebih baik dari yang semalam. Kalau
detik ini kita sering disibukkan dengan tugasan harian sehingga kita lupa dan
adakalanya kita lalai dalam melaksanakan perintah Allah dan tanggungjawab yang
sebenar sebagai hamba-Nya, kalau detik ini, kita bayangkan anak-anak dirumah
mengisi masa yang terluang menghadap facebook, twiter, blog dan mengadap televisyen berjam-jam, mari kita
rancang cuti mereka dengan mengikuti program-program yang boleh memberi manfaat
kepada mereka sempena cuti sekolah tahun ini. Ajar diri kita dan mereka untuk
mencari peluang yang ada, mengisi ruang yang disediakan dan memanfaatkan masa
yang terluang.
Pesan Rasulullah dalam sebuah hadith yang bermaksud, ”Rebutlah peluang
lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain iaitu masa mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu
sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum
miskinmu, masa lapangmu sebelum sibukmu dan masa hidupmu sebelum matimu” (Riwayat
Muslim)
Tidak lama lagi, tahun 2013 akan
meninggalkan kita semua dengan penuh kenangan. Jika dicongak-congak, begitu
cepat masa berlalu, setiap detik yang dilalui menjadi satu hari, satu minggu,
satu bulan dan seterusnya satu tahun. Kemudian datang lagi tahun baru,
begitulah pusingan masa .... tapi kita tak pernah
terlambat untuk berubah, ayuh kita mulakan dari
sekarang, jangan berlengah lagi, rebutlah
peluang masa yang diberikan kepada kita. Mari kita tingkatkan
azam untuk menjadi ummah yang cemerlang dan berjaya dalam kehidupan dunia
akhirat.
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya orang
yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan orang
yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam, manakala orang
terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.” (HR Bukhari
dan Muslim)
Comments