AYAT-AYAT CINTA
AYAT-AYAT CINTA
Antara nikmat yang
dikurniakan oleh Allah SWT kepada semua makhluk adalah nikmat cinta. Setiap
makhluk punyai rasa cinta, sama ada sesama mereka atau cinta kepada pencipta.
Allah SWT telah menjelaskan dalam surah
Al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud: “Ada
diantara manusia yang mengambil selain Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu
(Allah), mereka mencintainya (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka
mencintai Allah sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada
Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu
mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa
sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan
bahawa sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksanya, (nescaya mereka tidak
melakukan kezaliman itu).”
Cinta adalah Fitrah
Manusia diciptakan
Allah SWT secara berpasang-pasangan iaitu lelaki dan perempuan. Mereka
dikurniakan Allah SWT dengan rasa cinta, kemudian menjadi penyebab kepada
perkembangan zuriat manusia di muka bumi ini. Ingatlah kembali kisah nabi Adam
dan Hawa, bagaimana dengan rasa cinta dan kasih sayang antara kedua-duanya, melahirkan
zuriat yang berkembang-biak hingga memenuhi seluruh pelosok bumi. Cinta dan
kasih sayang ini merupakan fitrah manusia yang akan membawa kepada ingin
kenal-mengenal, beramah mesra, berkawan dan berpasangan. Firman Allah SWT dalam
surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud, “
Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan
bersuku-suku, supaya kamu kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu dengan
yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang
paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
mendalam pengetahuannya.”
Manusia dikurniakan
oleh Allah SWT dengan akal dan nafsu. Jika kurniaan ini dipandu dengan iman dan
ketakwaan kepada Allah, lahirlah manusia yang indah akhlaknya, segala
perbuatannya akan mengikut syariat. Sebaliknya, jika nafsu ini mengikut
kehendak Iblis dan syaitan, jatuhlah manusia ke lembah kehinaan, segala
perlakuan akan jauh menyimpang dari jalan kebenaran, perjalanan hidup akan
menuju kelaknatan Allah SWT. Allah SWT telah mengingatkan kita dalam firmannya dalam
surah al-Imran ayat 14, yang bermaksud, “Dihiaskan
(dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini
nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak
bertimbun-timbun, dari emas dan perak, kuda peliharaan bertanda lagi terlatih
dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah
kesenangan hidup didunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali
yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).”
Hubungan yang terlarang
Hari ini, kisah cinta
yang dicemari dengan pergaulan bebas lelaki dan perempuan digambarkan indah dan
mengasyikkan, sehingga anak umur belasan tahun sudah mula menjalinkan cinta
sesama mereka. Inilah realitinya, nikmat cinta yang dikurniakan Allah SAW telah
disalahgunakan. Lihatlah generasi muda dan remaja, terjebak dalam perangkap
syaitan, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Segalanya telah dihalalkan
atas nama kekasih dan tunangan, walaupun secara terang melanggar syariat Allah
SWT. Jika satu ketika dahulu, istilah “cinta monyet” sekadar cinta berbalas
surat, tetapi dengan kemudahan yang sedia ada kini masalah cinta muda-mudi
semakin parah dengan perlakuan maksiat dan perzinaan, kiriman gambar-gambar
lucah dengan mudah dihantar melalui wass
app, mms, facebook, dan sebagainya. Semuanya sanggup dikorbankan, maruah
digadaikan atas nama cinta.
Sebenarnya dalam
Islam tiada istilah bercinta, berpasangan dan berhubungan antara lelaki dan
wanita sebelum ikatan pernikahan tanpa pengawasan wali atau mahram. Semua ini
akan menjadi laluan kepada maksiat dan perzinaan. Renungilah amaran Allah SWT
seperti firman-Nya dalam surah an-Nur,
ayat 3 yang bermaksud, “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak
berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan
perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak berkahwin melainkan dengan
lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu
diharamkan kepada orang-orang yang beriman.” Ingatlah, nikmat cinta yang
dikurniakan Allah SWT kepada kita perlu disalurkan mengikut syariatnya.
Cinta Berlandaskan Syariah
Hanya cinta dan kasih
sayang yang berlandaskan syariat Allah akan mendapat keselamatan dan
kebahagiaan hingga akhirat kelak. Itulah cinta sejati, cinta yang bukan sahaja
membawa kebahagiaan d idunia bahkan kenikmatan di akhirat. Cinta yang
berlandaskan nafsu, diiringi dengan kemaksiatan, hanya memberi kenikmatan dibdunia,
yang bersifat sementara. Kenikmatan yang akan membawa kehancuran dibdunia dan
akhirat. Sebaliknya nikmat cinta sejati hanya diperoleh dengan berpandukan
syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW.
Salurkanlah rasa cinta ke tempat ke tempat yang
sepatutnya. Bagi lelaki yang telah berkemampuan, digalakkan untuk berkahwin
bagi mengelakkan maksiat. Manakala bagi yang kurang berkemampuan banyakkanlah
berpuasa bagi mengawal nafsu, selalulah berdoa serta berusaha agar dimurahkan
rezeki dan dikurniakan isteri yang solehah. Begitulah sabda Rasulullah SAW
seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, daripada Abdullah bin Mas‘ud
RA, “ Wahai para pemuda, sesiapa antara
kamu yang mampu berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin kerana ia (iaitu
perkahwinan) itu dapat mengawal mata dan kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu,
maka hendaklah dia berpuasa kerana ia (iaitu puasa) akan menjadi penjaga
baginya.”
Letakkanlah cinta
Allah di tempat yang tertinggi, agar tidak terleka dengan cinta dunia. Ingatlah
bahawa di mana sahaja kita berada, kita tidak berseorangan atau berdua, malah
Allah SWT sentiasa melihat kita. Tidak malukah kita melakukan maksiat dihadapan
Allah SWT yang bakal menghitung segala amalan kita, yang bakal menentukan kita
ke syurga atau neraka? Bertaubatlah kepada Allah SWT semoga Allah meredhai kita
semua. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 128,
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam
(dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak
langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Comments