Tahun Baru Datang lagi: Apa Azam anda?
Firman
Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud, ”....apabila kamu
telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Menyukai orang-orang yang
bertawakkal”
Sejauh manakah dalam
diri kita melaksanakan pesan dari al-Quran ini? Sebenarnya pengalaman orang
yang berjaya dalam kehidupan ia berjaya meletakkan azam sebagai pemula dalam
melakukan sesuatu perkara, berusaha
mencapai apa yang diazamkan dan dalam masa yang sama bertawakal kepada Allah
SWT yang Maha Berkuasa. Kita adalah hamba-Nya yang tidak memiliki apa-apa
kecuali dengan izin-Nya sedangkan Ia amat menyukai hamba-hamba-Nya yang
bertawakkal.
Maksudnya sebagai
pelajar kita mempunyai keazaman untuk berjaya dalam setiap peperiksaan, sabagai
hamba Allah kita mempunyai keazaman untuk berjaya dalam kehidupan dunia dan
akhirat. Sudah tentu dalam menggapai azam kita akan melalui perjalanan yang
penuh berliku, adakalanya kita akan jatuh, terbabas dan sebagainya, walau
bagaimanapun dengan keazaman yang dimiliki, keinginan dan cita-cita yang sangat
kuat untuk mencapai apa yang diazamkan akan mendorong dan menjadi pemangkin
kepada seseorang untuk menjadi berani dan bangkit semula serta berada di
landasan yang betul untuk meneruskan perjalanan yang penuh dengan ujian dan
rintangan bagi mencapai kejayaan dalam azam yang diazamkan. Oleh yang demikian,
azam tidak semestinya di awal tahun semata-mata, tetapi terbuka setiap masa.
Mari kita berfikiran positif dan sentiasa mempunyai semangat baru dalam
menempuh kehidupan ini.
Penggerak Yang Mencetuskan Usaha
Berkata mengenai azam, ia dapat
diumpamakan sebagai pengerak yang mencetuskan usaha, semangat dan kerajinan
seseorang untuk menjadikan sebuah keinginan atau impian dijelmakan dalam bentuk yang nyata, Contohnya
apabila seseorang meletakkan azam untuk mendapatkan ”score A” dalam
semua mata pelajaran yang didudukinya. Ia akan berusaha yang bukan sahaja
berusaha dengan bersungguh-sungguh dan
seupaya mungkin bagi mencapai tujuan tersebut, tetapi dalam masa yang sama sebagai hamba Allah yang lemah, dia
meletakkan penyerahan diri kepada Allah iaitu tawakkal. Menyerahkan segala
keputusan dan urusan tersebut kepada
Allah SWT, ”Tiada Tuhan selain Dia” yang mempunyai kekuasaan, yang berkuasa
terhadap hamba-Nya, tidak akan ada sesuatu yang terlepas dari perhatian dan
ketentuan-Nya dan Dia mengatur semua urusan.
Semua orang sedar, untuk mencapai kejayaan dalam hidup bukanlah sesuatu
yang mudah. Ia memerlukan semangat dan tekad yang kuat serta tidak mengenal erti
putus asa. Semangat dan tekad yang kuat inilah yang dapat mengerakkan minda dan
anggota untuk terus berusaha merealisasikan keinginan dan impian berbekalkan keazaman yang
kuat. Kejayaan akan datang apabila berusaha dan berserah diri kepada-Nya.
Bukankah Allah suka hamba-Nya yang bertekun terhadap sesuatu perkara?
Lihat Pada Kehidupan Sang Burung
Lihat contoh pada kehidupan burung, burung keluar pagi mencari makan dalam
keadaan perut yang kosong, manakala apabila pulang ke sarang pada waktu petang,
perut mereka sudah berisi penuh, begitu
juga dengan kehidupan ayam, untuk mendapatkan makanan, mereka akan mengais tanah untuk mencari makan. Bukankah binatang
tersebut inginkan sesuatu dan sesuatu
yang diperlukan tidak datang sendiri kecuali mereka perlu berusaha untuk
mendapatkannya.
Sebagai manusia, kita perlu berusaha dengan sesungguhnya dan bertawakkal
dengan sebenarnya-benarnya kerana tidak ada yang mampu menolong kita melainkan
Allah SWT.
Diceritakan dalam kitab tafsir al-Maraghi, Imam Ibn Hibban mengetengahkan
sebuah hadis dalam kitabnya yang bermaksud, seorang lelaki datang bertanya
kepada nabi. Lelaki tersebut membiarkan untanya. Ia bertanya, ”Apakah aku harus
mengikatnya, kemudian bertawakkal atau aku biarkan ia lepas kemudian kemudian
aku bertawakkal?” Nabi menjawab, ” Fikirlah masak-masak kemudian bertawakkal
(kepada Allah),”
Tawakkal Perlu Bersama Usaha
Harus tahu bahawa tawakkal itu perlu bersama-sama dengan usaha. Usaha itu adalah perintah Allah SWT. (Masih dalam editing)
Serahlah Kepada Allah!
Dalam hal ini Ahmad Mustapha al-Maraghi dalam kitab tafsirnya ketika
menafsirkan ayat yang dinyatakan dalam
surah Ali Imran menyebutkan bahawa, ”Serahkanlah sesuatu kepada Allah, setelah
mempersiapkan diri dan mempunyai sarana yang cukup untuk meneliti sebab-sebab
yang telah dijadikan oleh Allah untuk dapat mencapainya. Jangan sesekali kalian
percaya dengan kemampuan diri dan kuasa sendiri, juga jangan terlalu yakin
dengan pandangan dan sarana yang cukup memadai kerana semua itu tidak cukup
untuk menunjang terhadap sesuatu kejayaan. Selagi tidak diiringi dengan
pertolongan dan taufik Allah SWT. ” Oleh sebab itu kita perlu berserah diri
kepada Allah SWT dalam apa jua yang akan kita lakukan, bukan hanya azam dan
usaha sahaja. Sebenarnya dugaan dalam menuju sesuatu impian sangatlah banyak
dan kita tidak dapat menduga cara kita diduga. Sedarlah siapa kita! Jangan
diragui kerja Tuhan.
Sesuatu itu punya hikmah!
Setiap sesuatu yang kita peroleh ada manfaat dan hikmahnya, jadi kita buat
perkara yang disuruh Allah, Allah akan buat
perkara yang Dia akan buat untuk hamba-Nya.
Hanya Dia yang Maha Tahu.
Jika kita diibaratkan sebagai hamba, jangan persoalkan kerja tuan kita
kerana mempersoalkan kerja tuan
seolah-olahnya tidak berterima kasih dengan budi yang dihulurkan. Apatah lagi jika
kita hanya hamba kepada Tuhan, seorang hamba, jangan persoalkan kerja Allah SWT.
Maha Suci Allah daripada segala-galanya. Pemikiran kita terbatas, perbuatan
kita juga terbatas, dengan keterbatasan ini kita memerlukan Allah SWT
melimpahkan hidayah, rahmah dan sebagainya agar apa yang kita azamkan menjadi
milik kita. Dengan keterabatasan akal dan fikiran serta kelemahan diri yang ada
pada diri seseorang, sudah tentu Allah Maha Tahu Segala-galanya. Jadi mengapa kita tidak mahu berserah
diri kepada-Nya.
Kita Semua adalah ummah yang Terbaik
Sebelum ini kita boleh menghadap facebook, twiter, blog dan lain-lain
berjam-jam, apalah salahnya tahun ini kita azam hadapkan diri kita dengan banyakkan
baca Quran, hadith, dan kitab-kitab yang
lain supaya hidup kita lebih terisi.
Anak-anak kita didik mereka kenal Quran, hadith dan kitab-kitab supaya apa yang
kita tahu mereka juga turut tahu. Taklah kita ralat bila contohnya orang
bertanya anak-anak siapa dia nabi yang diutuskan kepada kita? Dari keturunan mana?
siapakah ayahanda dan bonda Rasulullah? Siapa ibu susuan baginda? Siapa
anak-anak baginda?
Kita bimbang melihat segelintir anak-anak hari ini, apabila ditanya siapa
penyanyi populer masa ini? Terus sahaja mulut menjawab persoalan tersebut,
mereka dalam ingatan dan pengetahuan, tetapi bagaimana dengan kisah
kehidupan nabi, para sahabat dan pejuang
agama yang lain di mana nama dan jasa mereka di catat dalam sejarah kehidupan?
Malang sekali jika siri kehidupan mereka ini tidak dijadikan contoh dan
tauladan dalam kehidupan.
Mari kita ingat firman Allah SWT yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik yang
dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang
munkar, dan beriman kepada Allah.” (QS. Ali Imron: 110)
Sebenarnya kita merupakan
umat pilihan disisi Allah swt. Malahan boleh dikatakan kita adalah umat yang terbaik berdasarkan firman Allah
dalam Surah Al-Imran, ayat 110 yang bermaksud bermaksud,“Kamu
merupakan umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia. Kamu menyeru kepada
maaruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.
Mengikut Imam Qatadah, Khalifah Umar Al-Khattab pernah berkata berhubung ayat ini, sesiapa yang suka digolongkan dalam golongan umat yang terbaik ini, tunaikanlah syarat Allah yang terdapat dalam ayat ini. Sahabat nabi berjaya menunaikan syarat-syarat ini iaitu:
1 ) Mengajak kepada maaruf
2 ) Mencegah kepada yang kemungkaran
3 ) Beriman dan melaksanakan tuntutan iman yang telah ditetapkan oleh Allah.
Sudah tentu sebagai anak kita ingin penuhi harapan ibu dan ayah, sebagai
pelajar kita ingin penuhi harapan guru, sebagai hamba Allah jangan di lupa
pula, kita juga harus penuhi tanggungjawab sebagai hamba kepada-Nya. Tuhan
menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Dia bukan hanya mencipta, tetapi
mengatur kehidupan di dunia. Betapa Maha Kuasa Allah, maka selayaknya sebagai
hamba, kita tanamkan keazaman untuk mendapatkan redha-Nya.
Dalam mencari redha Allah,
kita mesti ingat masa amat penting dalam kehidupan seseorang. Pesan Rasulullah
dalam sebuah hadith yang bermaksud, ”Rebutlah peluang lima perkara
sebelum datang lima perkara yang lain iaitu (1) masa mudamu sebelum
tuamu, (2) masa sihatmu sebelum sakitmu, (3) masa kayamu sebelum miskinmu, (4)
masa lapangmu sebelum sibukmu dan (5) masa hidupmu sebelum matimu” (Riwayat Muslim)
Tahun baru Hijrah telah bermula dan tak lama lagi kita akan memasuki tahu
baru Masihi pula. Banyak cerita pahit dan manis dalam kehidupan sepanjang tahun
ini yang telah kita lalui. Mungkin ada antara kita telah meningkat umur
daripada 13 tahun ke 14 tahun , daripada umur 14 ke 15 tahun dan seterusnya.
Jika dicongak-congak, begitu cepat masa berlalu. Mungkin tahun ini kita telah
menghadapi peperiksaan sama ada PMR, SPM, STAM dan sebagainya. Bagi yang telah
menghadapi peperiksaan, mungkin sedang menunggu-nunggu keputusan. Walau apa pun
kita melewati hari-hari tersebut dari setiap detik yang dilalui menjadi satu
hari, satu minggu, satu bulan dan seterusnya satu tahun. Kemudian datang lagi
tahun baru, begitulah pusingan masa ....
Apabila tiba tahun baru, biasanya bukan hanya pakaian dan sepatu baru bagi
yang masih berada di alam persekolah tetapi juga azam baru perlu ada dalam diri masing-masing
bagi menambah peningkatan diri.
1: Azam Cari Redha Allah
Kadangkala sebagai remaja, kita
terleka dengan aktiviti harian sehingga solat dilaksanakan dipenghujung waktu
dan ada juga yang terbabas sehingga habis waktu. Andai masuk ke waktu lain,
bagaimana solat yang kita tinggalkan, sudah pasti kita mendapat dosa kerana
meninggalkan solat tersebut. Ramai yang lupa atau mungkin tahu tetapi terleka
bahawa solat merupakan perisai kehidupan seseorang. Solat yang sempurna dapat
mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan mungkar!
Ayuh mari kita azamkan dalam diri, hidup tak pernah terlambat dalam
melakukan pengislahan diri, jangan terpengaruh dengan bisikan halus yang cuba
suka menangguh-nangguh perkara yang baik. Kita sama-sama berazam
dalam diri untuk menjaga ibadah solat kita. Kita mahu kebahagiaan hidup di
akhirat sana, tetapi kita mesti menjadi umat yang terbaik di kehidupan ini.
Sudah tentu solat yang dipesankan oleh Baginda Nabi SAW kepada umat Islam
sejak dari dahulu lagi kepada umatnya supaya ibu bapa mengajar dan menyuruh
anak-anak bersolat sejak umur mereka 7 tahun dan pukul mereka jika enggan
ketika berumur 10 tahun merupakan suruhan untuk mendidik sejak daripada kecil
lagi. Solat yang
merupakan pengbadian diri kita sebagai hamba terhadap Allah atas segala nikmat
dan rahmat yang dikurniakan-Nya.
Antara tahu dan tidak tahu betapa pentingnya solat dalam kehidupan yang
bukan sahaja melambangkan ketaatan kita kepada Allah SWT, tetapi juga untuk
melatih diri menjadi insan yang berdisiplin dan menjaga masa.
2: Azam Cari Redha Ibu Bapa
Mari kita cari redha Allah, kita azam dalam diri menjadi umat yang terbaik.
Remaja yang baik akan berusaha mencari redha Allah. Melalui redha Allah, kita
akan mendapat pertolongan dan ganjaran daripada-Nya. Hidup akan menjadi senang
kerana ada keberkatan. Antara jalan meraih redha Allah adalah dengan mencari
redha ibu dan bapa kita. Tidak payah bukan?
Kita hormat mereka, dengar apa yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Jika mereka marah,
sebenarnya kemarahan mereka kerana ingin membentuk diri kita. Oleh yang demikian,
berazamlah untuk menjadi anak yang baik supaya mereka senang dan gembira.
Keletihan mereka mencari rezeki dan mendidik akan terubat apabila melihat
tingkah laku yang baik.
3. Azam Untuk Diri Sendiri
Pengajaran disebalik sebuah kisah.Kata guru, “hidup
adalah perjuangan, usah tangguh lagi, kita mesti berusaha untuk berjaya,” tidak saya fahami secara mendalam maksud yang
tersirat, akhirnya saya leka dengan arus kehidupan sebagai remaja yang sedang
mencari jati diri. Saya ingin menjadi remaja yang serba boleh dalam erti berani mencuba
terhadap sesuatu perkara, saya seronok bila dipuji, saya benci bila dikeji, saya
rasa tercabar bila orang mencabar saya.
Dalam keseronokan mencari
dan membina jati diri ketika itu, hal yang saya lupakan iaitu tujuan saya diciptakan. Saya gagal mencari
tujuan hidup yang sebenar kerana saya tidak tahu tujuan saya diciptakan. Akhirnya
saya habiskan masa saya dengan sia-sia. Masa berlalu....apabila dikenang
semula, saya teringat pesan ayah supaya jangan menangisi hari semalam, ia
takkan kembali lagi. Hidup mesti diteruskan. Betapa ayah seorang yang memahami.
Bisikan saya tiada siapa yang mendengar, ”Andai saya
diberi peluang, untuk merubah masa silam saya, andai saya diberi peluang untuk
kembali pada zaman persekolahan saya, saya ingin jadi pelajar yang berjaya.
Saya akan fokus pada pelajaran saya, saya tidak mahu bermain-main, Andainya
saya diberi peluang kembali ke zaman itu, akan saya dengar setiap leteran ibu
kerana leteran ibu sebenarnya adalah nasihat, untuk saya bukan untuk dia.
Kemarahan ibu sebenarnya bukan kemarahan yang mengandungi dendam, mengapa saya
tidak menyedari bahawa mana mungkin dia memarahi dirinya sendiri kerana saya
adalah bahagian dari dirinya, saya adalah darah dagingnya.Sudah tentu dia ingin
yang terbaik untuk diri anaknya. Andainya saya dapat kembali pada masa itu,
ingin saya memohon kemaafan pada ibu dan ayah yang bersusah payah membesarkan
saya, melayan kerenah saya dan lain-lain. Andainya... ” Betapa banyak andai, andai dan
andai....
Wahai Umat kesayangan Rasulullah SAW, Tak perlu
berandai-andai mari kita mulakan dari sekarang untuk berubah kepada kebaikan. Saya
teringat bait-bait nasyid yang saya suka alunkan sewaktu saya kecil, walaupun
ianya tidak semerdu suara kumpulan nasyid tetapi sewaktu melafazkannya saya
terasa ada nasihat yang dapat saya ambil daripada bait-bait nasyid tersebut.
Wahai
kawan-kawanMari sembah Allah
Wahai kawan-kawan
Mari ikut Rasulullah
Wahai kawan-kawan
Mari berukhuwah
Wahai kawan-kawan
Mari kita bina ummah
Wahai
kawan-kawanMari berukhuwah
Wahai kawan-kawan
Mari kita bina ummah
Mari kita berdakwah
Wahai kawan-kawan
Ini dia jalan Allah
Wahai kawan-kawan
Mari mujahadah
Wahai kawan-kawan
Jangan mudah menyerah kalah
Mari mujahadah
Wahai kawan-kawan
Jangan mudah menyerah kalah
Bait-bait nasyid ini mengajak kita semua untuk berrbuat kebaikan. Oleh yang
demikian usah ditunggu-tunggu lagi, mari kita azam dengan daya dan usaha untuk
taat pada perintah Allah, ikut sunnah Rasulullah, kukuhkan persaudaraan, mari
menyeru ke arah kebaikan dan berjuang untuk mempertahankan agama. Sebagai
remaja mari kita berjuang melawan hawa nafsu. Imam Al-Ghazali dalam kitabnya,
Minhajul Abidin berkata, "Hawa nafsu ialah musuh yang sangat keji dan hina
malah mencelakakan serta sukar untuk dihindari." Oleh yang demikian mari,
kita berwaspada kerana nafsu merupakan musuh dari dalam diri, bukan musuh dari
luar.
Imam Al-Ghazali berkata lagi, "Hawa nafsu sangat sukar diajak
berkrompomi dalam membulatkan hati untuk beribadat kepada Tuhan kerana hawa
nafsu akan sentiasa menjauhkan kita dari Allah S.W.T. Kita memerlukan sesuatu
dalam mengendalikan hawa nafsu iaitu taqwa. Melalui taqwa, nafsu jahat dapat
ditumpaskan sekaligus dapat meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T. Firman Allah
SWT dalam surah Ali Imran ayat 102 yang bermaksud: "Wahai orang yang
beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan
sebenar-benar takwa."
Sudah pastilah dengan keimanan yang dimiliki dapat menghakis niat dan perlakuan buruk yang ingin kita lakukan. Perasaan takut kepada Allah akan menjadikan kita tidak akan melakukakn perbuatan buruk, malahan akan terus meninggalkan perbuatan buruk yang terniat dihati kita.
4. Azam dan Azam lagi
Ayuh kawah-kawan kita ikut jalan Allah. Mari kita azam dalam
diri laksana apa yang diperintah, tinggal apa yang dilarang. Hidup ini adalah
perjuangan dan setiap pejuang akan melalui ujian hidup yang bermacam-macam.
Adakalanya manusia akan penat dengan ujian tersebut. Penat itu sentiasa di bawa
dalam perjalanan hidup kecuali setelah
mengalami kerehatan yang panjang iaitu mati.
Selagi ada nyawa, selagi masih ada nafas, mari kita jadi
hamba yang bersyukur kepada Allah SWT yang telah menjadikan kita dengan
sebaik-baik kejadian, yang memudahkan segala urusan sesudah mengalami kesukaran.
Mari kita fikir perkara yang baik, berbuat perkara yang baik, dan bersangka
kepada perkara yang baik, Semoga kita mendapat imbalan yang baik-baik.
Bangkitlah dengan penuh semangat wahai remaja, masa
jangan disia-siakan, jika hari ini kita gagal, bukanlah bermakna kita akan
terus gagal pada masa berikutnya. Allah suka hamba-Nya yang bertekun dalam
melakukan sesuatu perkara.....ayat quran..... Allah suka hamba-Nya berserah diri kepada-Nya. Kita manusia yang
tak punya apa-apa, Allah Maha segala-gala-Nya, dia tahu apa yang dikehendaki
oleh hamba-hamba-Nya. Yakinlah bahawa segala yang terjadi mengandungi hikmah
tersendiri. Saat manis akan tiba bila seseorang yakin dengan kuasa Allah.
Percaya dengan penuh keimanan.
AYUH MULAKAN LANGKAH
Sedar atau tidak, golongan remaja merupakan aset negara yang paling berharga bak
sebutir permata yang mesti sentiasa digilap supaya kilauannya menyinar dan
menyerlah dari setiap sudut. Golongan remaja akan
bertukar menjadi dewasa dan generasi ini akan membentuk barisan
kepimpinan yang akan menerajui negara pada masa akan datang. Ciri-ciri yang
dapat dinilai dalam diri individu ialah dari sudut kepimpinan, perhubungan,
kuasa, pandangan dan etika/moral. Jadi tidak mustahil di sekolah dan universiti
kita melihat kawan-kawan kita yang mempunyai ciri-ciri ini di beri
tanggungjawab memegang jawatan penting kerana mereka setelah diselidik
mempunyai bakat memimpin, mempunyai hubungan yang baik dengan kawan-kawan,
mempunyai pandangan yang sentiasa positif dan mempunyai kahlak yang terpuji.
Berbanggalah menjadi rakyat Malaysia, yang rakyatnya
hidup dalam suasana aman dan makmur. Keamanan dan kemakmuran ini harus
dipelihara dengan baik. Kitalah anak bangsa yang perlu mengekalkan harta pusaka
dan warisan yang ditinggalkan oleh orang tua kita. Kitalah generasi hari ini
yang akan mencorakkan masa hadapan negara. Jika kita berjaya hari
ini, kejayaan itu adalah untuk kita dan generasi kita. Mereka akan menikmati
nikmat tersebut sehingga ke generasi
berikutnya.
Mari kita jadi bangsa
yang dihormati, melalui perolehan ilmu yang di gali dari persekolahan
hingga ke menara gading dan dari pendidikan tidak formal memberi pembaharuan
dan kelainan yang positif. Sekurang-kurangnya jika kita tidak mampu menjadi
lautan, jadilah anak sungai yang boleh direntasi orang ramai. Jika kita tidak
mampu menjadi high way, sekurang-kurangnya kita menjadi jalan kecil yang
selamat dilalui oleh semua orang. Biarlah kita menjadi generasi contoh kepada
pewaris-pewaris kita, biar nyata pepatah manusia mati meninggalkan nama,
harimau mati meninggalkan belang.
Dunia ini Allah pinjamkan kepada hamba-Nya untuk
ditadbirkan sementara sahaja, sampai waktu, Allah akan mengambilnya semula.
Dasarnya pemimjam biar tahu, kedudukan, jangan lupa pada budi yang ditaburkan.
Harus tahu rasa bersyukur dan berterima kasih. Ingat pula sudah tentu Allah boleh bagi sesuatu pada
bila-bila masa dan Allah boleh tarik balik sesuatu tersebut pada bila bila masa sahaja tanpa diketahui
atau disedari. Oleh yang demikian, saat kita diberi nikmat kepandaian,
janganlah digunakan ia kepada kesesatan. Jika sesat, sukar untuk kita temui
jalan pulang, bimbang terus terjerumus dalam kesesatan melainkan Allah beri hidayah semula dan semula… Terhadap sesuatu
yang diberi pinjam, janganlah pula angkuh, riak dan sombong, siapalah kita
untuk bersifat demikian… hanya seorang hamba… memiliki nikmat yang diberi
pinjam buat sementara.
Comments