Hari Ini Dalam Sejarah

17 Mac tahun 2000, hari Jumaat, rombongan pengantin lelaki tiba di rumah pengantin wanita. Kalau tidak saya, siapalah lagi semasa ini yang paling gembira bercampur sedih, Gembira kerana akan memasuki alam baru, sedih akan meninggalkan rumah Abah dan Emak tempat saya berteduh menuju rumah baru yang belum tahu bagaimana rupa bentuknya, yang pasti banyak tanggungjawab yang harus dipikul bersama, Mengikat tali persaudaraan dan memperluaskan tali kekeluargaan dengan masuk ke dalam sebuah keluarga yang baru, tentulah berbeza dengan suasana yang telah dilalui sebelum ini. Hati harus kuat, Doa pada-Nya harus tidak putus kerana Dia tempat kita berlindung.Saya mahukan keluarga yang di bina pada hari itu hingga kini sebah keluarga yang berlandaskan konsep mawaddah dan rahmah. Terbaca wasiat Umamah terhadap Puterinya yang akan berkahwin dengan al-Harith bin Amru. Katanya: "Wahai Puteriku! Ada 10 perkara yang ingin aku berikan pedoman kepadamu dan sebagai panduan untukmu dalam kehidupan berumah tangga iaitu: 1. Jalinkan hubungan dengan suami penuh ketaatan. Perhatikan kesukaannya dan jangan sampai dia melihat seseuatu yang buruk darimu atau tercium sesuatu yang tidak enak darimu. 2. Sentiasalah membanggakan suamimu kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu. 3. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya (selagi tidak bertentangan dengan syariat) nescaya, dia akan bersikap lembut terhadapmu. 4. Uruskanlah rumahtangga dengan baik dan sempurna. 5. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya. 6. Simpanlah segala rahsianya dengan baik. Jangan sesekali kamu membantah suruhannya kerana ia akan melukakan hatinya. 7. Jagalah waktu makan dan waktu istirehatnya kerana perut yang lapar akan membuatkan darah cepat naik. Tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan. 8. Jika dia sedang gembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan. Kamu mesti pandai mengikut suasana hatinya. 9. Hiasilah dirimu selalu agar dia gembira bila memandangmu. 10. Jadikanlah dirimu itu sebagai pembantu kepadanya, nescaya dia akan menjadi penolong pula kepadamu. Cuti sekolah akan bermula, bagi yang akan menamatkan zaman bujang pada cuti penggal ini, tahniah diucapkan sudah tentu anda semua sedang sibuk menguruskan persiapan kerja kahwin anda, bagi Ibu bapa yang bakal menerima menantu baru sudah pasti jua sibuk menjemput sanak saudara ke Majlis Kesyukuran, apa pun kita, siapa pun kita di saat sedang sibuk menyiapkan urusan perkahwinan, jangan lupa kepada ibu bapa untuk menasihatkan raja sehari sebelum mereka memasuki alam rumah tangga. Jangan kerana kita telah berjaya mengikuti kursus perkahwinan, bermakna kita telah penuh ilmu rumah tangga. Tidak begitu wahai umat kesayangan nabi, saudara ku seislam, darah dagingku yang ku sayang. Nasihat ini bukan sebarang nasihat, nasihat ini memang disunatkan kepada orang tua untuk diberikan kepada dua pengantin. Jika orang tua tidak menyampaikan, siapalah lagi, jika tidak hamba yang hina ini. Jika buku tidak dijadikan rujukan, apalah salah saya jika saya menyampaikan apa yang saya telah baca. Ingatlah ! Bukan salah mereka tidak memberi nasihat tetapi mungkin juga kerana bukan kebiasaan. Apa pun tidak salah jika saya mengambil kata-kata di bawah, jika ianya memberi manfaat pada semua. Pertama: Anas RAnhu mengatakan, “Setelah menghantar pengantin perempuan kepada pengantin lelaki, para sahabat Nabi berpesan kepada pengantin perempuan supaya melayani suaminya dan menjaga hak-haknya dengan baik. Kedua: Ummu Hakim berpesan kepada puterinya pada malam pertama perkahwinannya sebagai berikut: “Anakku, engkau akan meninggalkan suasana tempat engkau dilahirkan, engkau akan meninggalkan sarang tempat engkau dibesarkan dan berpindah ke sarang lain yang belum pernah kau kenal. Engkau memperoleh teman hidup yang belum biasa menemanimu, Ia menjadi berkuasa ke atas dirimu dan menjaga kehidupanmu. Oleh itu hendaklah engkau dapat menempatkan dirimu sebagai hamba sahaya baginya dan dengan demikian, ia akan menjadi budak bagimu. Anakku, perhatikanlah beberapa sifat utama yang ku pesankan kepadamu kerana hal itu akan menjadi bekal atau simpanan yang baik bagimu: • Temanilah suamimu dengan cara hidup yang bersedarhana, merasa cukup dengan yang ada dan bergaullah dengan baik mesra. • Jagalah dirimu dihadapan matanya dan depan hidungnya agar engkau tidak kelihatan buruk dalam pandangannya, dan jangan sampai ia mencium bau yang tidak sedap dari badanmu. Bercelaklah kerana celak merupakan hiasan terbaik. Ketahuilah bahawa air adalah pengganti terbaik, minyak yang tidak kau punyai. • Perhatikanlah dengan baik waktu makan suamimu dan jagalah ketenangan di waktu ia sedang tidur kerana rasa lapar dapat menimbulkan kemarahan dan tidur yang terganggu boleh juga membangkitkan kemarahan. • Jagalah keamanan rumahtangga dan keselamatan harta serta peliharalah kehormatan suamimu dan hormatilah anggota keluarganya kerana dengan menjaga keselamatan harta benda, engkau akan mendapat penghargaan dan mendapat perhatian yang baik. • Jangan sesekali engkau membicarakan rahsia suamimu dengan orang lain dan jangan pula engkau menentang perintahnya kerana jika engkau menyebarkan rahsianya, engkau tidak akan jujur terhadap dirimu, dan jika engkau menentang perintahnya, ia akan marah kepadamu. • Janganlah engkau gembira di saat ia sedang sedih, jangan pula engkau kelihatan sedih bila ia sedang bergembira. Ini kerana yang pertama itu menunjukkan kependekan fikiranmu, sedang yang kedua dapat mengeruhkan fikirannya. • Jadilah engkau orang yang paling menghormati suamimu, ia pasti akan menjadi orang yang paling besar memberi penghargaan kepada dirimu. Jadilah engkau orang yang paling mudah menyetujui pendapatnya, ia tentu akan menjadi orang yang paling lama menemani hidupmu. • Ketahuilah, engkau tidak akan dapat memperolehi keinginanmu sebelum engkau mengutamakan kesukaannya daripada kesukaanmu sendiri dan lebih mengutamakan kesenangannya daripada kesenanganmu sendiri, baik dalam hal yang engkau sukai, mahupun yang tidak engkau sukai. Semoga Allah menunjukkan pilihan yang terbaik bagimu.” Ketiga: Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib RAnhu berpesan kepada puterinya yang baru dinikahkan sebagai berikut: • Janganlah engkau cemburu, kerana cemburu itu kunci perceraian. • Janganlah engkau banyak menyalahkan suamimu, kerana hal itu dapat menimbulkan kebenciaan. • Hendaklah engkau selalu memakai celak, kerana celak itu merupakan hiasan terbaik. • Ketahuilah bahawa minyak wangi yang terbaik ialah air. (Maksudnya : memelihara kebersihan badan dan pakaian lebih baik daripada memakai wangian.) Keempat: Ketika Ali bin Abi Thalih meminang puteri Rasulullah SAW, Fatimah al-Zahra R.anha, Baginda bersabda kepadanya yang bermaksud, “Dia untukmu, teteapi engkau harus menemaninya dengan baik.” Kelima: Uthman bin Anbah ketika meminang puteri bapa saudaranya, ia disuruh duduk disampingnya dan sambil membelai-belai kepalanya ia (bapa saudaranya) berkata: “Engkau keluarga terdekat, orang yang kusayangi dan sekarang datang meminang anak perempuanku. Aku tidak dapat menolak dan dalam hal itu aku merasa wajib mengabulkan. Sekarang kamu berdua (Uthman dan puteri bapa saudaranya) kunikahkan. Ketahuilah bahawa engkau ku pandang lebih terhormat daripada anak peempuanku, tetapi dia lebih dekat dihatiku daripada dirimu. Kerana itu hormatilah dia supaya setiap kali aku menyebutmu lidahku terasa segar. Janganlah engkau menghina dia agar harga dirimu tidak merosot dalam pandanganku. Engkau telah kudekatkan dengan keluargamu (iaitu anak perempuan bapa saudara Uthman) kerana itu janganlah engkau menjauhkan hatiku dan hatimu.” Kelima: Abu Darda’ RAnhu berkata kepada isterinya; “Apabila engkau melihat aku sedang marah redakanlah perasaanku, dan bila aku melihat engkau sedang marah akan kuredakan perasaanmu. Jika tidak demikian, kami tidak dapat saling berteman. Setelah mengucap kata-kata tersebut Abu Darda’ berpantun yang maksudnya: Terimalah Kemaafan dariku akan menandakan cinta kasihku, Bila aku marah janganlah menyahut didepanku, Janganlah engkau menabuhku seperti menabuh rebana, Kerana engkau tidak tahu bagaimana akibatnya, Ku rasa bila cinta kasih di hati tertusuk sembilu, Tidak syak lagi kasih sayang akan pergi berlalu. Daripada kata-kata di atas, mari kita semak diri dan koreksi diri, rupa-rupanya saya juga sudah tersasar jauh daripada landasan nasihat ini, kepada suami saya, maafkan saya….saya ingin menjadi isteri yang baik dan terbaik, tetapi sebagai insan yang lemah saya perlu dipandu dan diingatkan. Saya teringat semasa kuliah dahulu, suatu hari lecturer tafsir menyebutkan tentang tikrar dalam al-Quran. Dalam al-Quran terdapat macam-macam tikrar. Antaranya, tikrar yang terjadi pada lafaz, tikrar pada kalimat dan tikrar dalam kisah al-Qur`an. Kesemuanya ini mengandungi hikmah yang antara lain adalah menganjurkan manusia untuk mentadabburi al-Qur`an, kemudian mengambil ibrah dari pengulangan atau tikrar ayat tersebut, anjuran agar istiqomah dan pengukuhan eksistensi Tuhan yang memiliki alam semesta. Ringkasnya untuk diri sendiri yang memang diketahui umum sifatnya sebagai manusia yang sering lupa perlu sentiasa diperingatkan dengan diulang-ulang menyebut, kata suami saya bercakaplah dan nasihatlah anak-anak supaya berbuih mulut bercakap pada perkara yang sama supaya melekat dalam hati mereka. Begitu juga wahai para suami yang melindungi para isteri, nasihat yang diulang-ulang akan semakin kukuh di jiwa, pengingatan kembali sesuatu yang diulangi tersebut akan menghasilkan perbuatan yang indah, mari kita cuba praktikalkan dalam kehidupan kita. Ambil hikmah daripada al-Quran, mengapa terdapat pelbagai bentuk pengulangan dalam ayat al-Quran, mari kita kaji al-Quran, Bukankah allah menyuruh kita membaca? Insya-Allah kita akan menemukan jawapannya. Pelajarilah ulum al-Quran, kita akan menemukan betapa al-Quran itu sungguh indah bagi orang yang memandangnya dari pelbagai sudut. Luar biasanya, jika diibaratkan sebagai sebutir berlian, kilauannya menyinar di setiap sudut yang kita pandang. Al-Quran petunjuk sepanjang zaman dan sesuai dimana sahaja. Jadi mengapa kita tidak jadikan al-Quran sebagai kitab yang dibaca setiap hari? Janganlah al-Quran hanya dijadikan hantaran, dipojokkan di suatu sudut sahaja, dilihat dan dikatakan cantik, dihiasi dengan bunga serta reben yang menarik, tetapi tidak dibuka untuk dibaca, dihayati dan diamalkan. Mari kita ingatkan diri kita sendiri, betapa al-Quran mengandungi seribu hikmah bahkan lebih yang mana tidak dapat dihitung dengan bilangan, yang harganya lebih mahal daripada hantaran lain, maka beruntunglah orang yang di saat manis itu mendapat hadiah al-Quran dan sebagai tanda penghargaan kepada si pemberi, maka diterima dengan seikhlas hati untuk dijadikan rujukan dalam sebuah keluarga. Pahala orang yang membaca a-Quran sangat besar. Ibn Mas`ud RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah (al-Quran) ia akan mendapatkan satu kebaikan yang nilainya sama dengan 10 kali ganjaran (pahala). Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (HR Tirmidzi). Indahnya hidup berumahtangga andai si suami pula sering memperdengarkan ayat bacaan ini dalam rumah tangganya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “ Sesiapa mendengarkan satu ayat dari kitab Allah (al-Quran), maka ia akan menjadi cahaya untuknya pada hari kiamat. (HR Ahmad). Si isteri pula, mengambil makna ayat al-Quran dalam surah al-A`raf ayat 204 yang bermaksud, “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat. Subhanallah, Maha Suci Allah, betapa Dia Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hambanya, bukan hanya baca, mendengar sahaja pun beroleh rahmat daripada-Nya. Maka apa tunggu lagi wahai umat kesayangan nabi, mari kita jadikan al-Quran sebagai petunjuk, hadis sebagai sandaran hidup dan sirah jadikan tauladan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu. Kami telah menurunkan kepadamu cahaya yang terang benderang. Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada-Nya, niscaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar dari-Nya dan limpahan karunia-Nya, dan menunjuki mereka kepada jalan yang lurus.” ( Surah an-Nisa’: 174-75). Semoga penulisan ini memberi kesedaran pada saya untuk menjadi umat yang baik dan terbaik serta penulisan ini dapat memberi manfaat pada mereka yang lain. Mari kita berjuang menegakkan syiar Islam di atas landasan yang benar. kita bentuk sebuah keluarga yang mawaddah dan rahmah, kita bina keluarga atas asas iman yang teguh, atas syariat yang benar. Sesunggunya terbentuknya masyarakat daripada sebuah keluarga yang berkembang biak, baik sebuah keluarga, baiklah masyarakat di dalam sebuah negara. Sekian.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Buat Si Pencuri

AYAT-AYAT CINTA

Rindu